Belanjawan 2021 tidak jelaskan bagaimana ia pulihkan ekonomi, kata Anwar


Anwar juga mempersoalkan peruntukan kerajaan sebanyak RM80 juta untuk unit propaganda yang dihidupkan semula, iaitu Jabatan Hal Ehwal Khas atau JASA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

BELANJAWAN 2021 tidak menyatakan sebarang pelan bagi merangsang ekonomi susulan kemerosotan akibat pandemik Covid-19, kata Anwar Ibrahim.

“Inilah kelemahan terbesar belanjawan,” kata ketua pembangkang itu di Parlimen hari ini.

Beliau berkata pemberian wang tunai untuk pelbagai kategori rakyat Malaysia berpendapatan rendah adalah baik, namun rancangan konkrit untuk meningkatkan ekonomi juga diperlukan.

Anwar, yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan, turut mempersoalkan anggaran pendapatan kerajaan berhubung hasil cukai pendapatan korporat.

“Selain satu atau dua syarikat seperti Top Glove Corporation, sukar untuk tahu  bagaimana kerajaan boleh menjangka akan memungut begitu banyak cukai korporat.

“Mungkin, terlalu tinggi pendapatan sehingga anggaran defisitnya jadi lebih rendah,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Anwar juga mempersoalkan peruntukan kerajaan sebanyak RM80 juta untuk unit propaganda yang dihidupkan semula, iaitu Jabatan Hal Ehwal Khas atau JASA.

“Peruntukan ini lebih tinggi daripada peruntukan untuk beberapa kumpulan minoriti seperti OKU.”

Sementara itu, bekas menteri pertahanan dan timbalannya, Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong mempersoalkan dana kerajaan sebanyak RM2.3 bilion bagi meningkatkan atau memulihkan aset Kementerian Pertahanan.

“Lebih daripada separuh anggaran pembangunan bernilai RM4.5 bilion akan meningkatkan aset tentera.

“Walaupun ini dialu-alukan, kami ingin mengetahui aset mana yang akan ditingkatkan atau dipulihkan,” kata kedua-dua mereka dalam kenyataan bersama sebagai tindak balas terhadap belanjawan yang dibentangkan hari ini.

Mohamad juga mempersoalkan sama ada kerajaan merancang untuk meningkatkan unit keselamatan siber angkatan bersenjata.

“Walaupun kita tidak menentang kerajaan yang memperuntukkan RM30 juta kepada Cyber ​​Security Malaysia, kita ingin tahu apakah mereka akan mengembangkan unit angkatan bersenjata negara. – 6 November, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen