MTUC puji Belanjawan 2021, mahu pekerja asing dihantar pulang 


Alfian Z.M. Tahir

Kerajaan digesa menghantar lima juta pekerja asing pulang ke negara asal mereka.– Gamar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan menghantar pulang lima juta pekerja asing tanpa dokumen dan juga pendatang haram dengan segera, kata presidennya Abdul Halim Mansor. 

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil berat kebajikan rakyat dalam belanjawan kali ini. Ia menunjukkan kerajaan mahu membantu dan mendidik masyarakat tidak memberi bantuan untuk mereka berbelanja,” katanya. 

“Bagaimanapun kami menggesa kerajaan untuk menghantar lima juta pekerja asing (yang sah dan tidak sah) pulang.”

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, mulai Januari mereka yang hilang pekerjaan boleh mengeluarkan RM500 sebulan dalam tempoh setahun daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Pengeluaran daripada akaun berkenaan dihadkan kepada RM6,000.

Tengku Zafrul berkata sianggarkan sebanyak RM4 bilion akan dikeluarkan dari Akaun 1 di bawah pelan itu bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan kewangan. 

“Mereka yang terjejas boleh memohon pengeluaran tu bermula 1 Januari, 2021,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 hari ini.

Sebelum pembentangan itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan membincangkan cadangan bagi membenarkan pencarum yang diberhentikan kerja, mengeluarkan wang daripada Akaun 1. 

Halim turut memuji langkah KWSP untuk mengurangkan potongan pekerja daripada 12% kepada 9%.

Menurutnya, langkah itu lebih baik berbanding belanjawan sebelum ini yang mana caruman dikurangkan kepada 7%. 

“MTUC menyokong Belanjawan 2021. Mengurangkan caruman dari 12% ke 9% adalah lebih baik daripada mengurangkan hingga 7%. 

“Apa yang  kami agak bimbang adalah aliran keluar bantuan ini akan mengurangkan pulangan dividen simpanan tahunan KWSP,” katanya. – 6 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen