Fikir teliti sebelum keluarkan simpanan KWSP, kata MEF


Alfian Z.M. Tahir

Negara mengalami krisis ekonomi selepas banyak sektor dan industri lumpuh akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

MEREKA yang kehilangan pekerjaan mesti berfikir dengan teliti sebelum menggunakan simpanan persaraan mereka demi bertahan daripada kesempitan ekonomi susulan pandemik Covid-19, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata hanya mereka yang terdesak sahaja patut melakukannya, kerana langkah itu akan membahayakan simpanan masa depan mereka di hari tua.

Beliau mengulas cadangan dalam Belanjawan 2021 hari ini agar mereka yang kehilangan pekerjaan mengeluarkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM500 sebulan, selama 12 bulan, dari Akaun 1 KWSP mereka.

“Tawaran itu dibuat untuk mereka yang menghadapi masalah aliran tunai dan membantu mereka harungi situasi yang sempit ketika ini.

“Kerajaan tidak memaksa mereka keluarkan, dan mereka boleh pilih sendiri untuk keluarkan wang tersebut.

“Bijaklah ketika membuat keputusan. Sekiranya tidak ada kecemasan, lebih baik jangan keluarkan wang itu,” kata Shamsuddin kepada The Malaysian Insight.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan belanjawan hari ini berkata bahawa pengeluaran dari Akaun 1 boleh dilakukan pada bulan Januari, sehingga maksimum RM6,000 selama setahun.

Cadangan untuk mereka yang terkesan dengan pandemik mengeluarkan simpanan persaraan telah dicadangkan baru-baru ini oleh Pemuda Umno dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Bagaimanapun cadangan tersebut ditolak Pengarah Eksekutif KWSP Alizakri Alias.

Sementara itu, Shamsuddin juga bersetuju dengan cadangan lain dalam belanjawan untuk mengurangkan caruman KWSP pekerja supaya mereka dapat mengukuhkan aliran tunai keluarga.

Tengku Zafrul mengumumkan bahawa caruman pekerja akan dikurangkan dari 11% menjadi 9% mulai Januari 2021 selama 12 bulan.– 6 November, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen