Menteri kewangan 'terlalu optimis' dengan hasil cukai, kata ahli Parlimen


Ravin Palanisamy

Wong Chen daripada PKR berkata bahawa bekas pegawai bank yang dilantik sebagai menteri itu "terlalu optimis" terhadap kutipan cukai semasa sepanjang tempoh wabak Covid-19 diumumkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

AHLI Parlimen Subang Wong Chen menyelar Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kerana meramalkan perolehan pendapatan yang tinggi bagi kerajaan hasil daripada kutipan cukai pendapatan korporat.

Mengkritik ucapan belanjawan sulung Tengku Zafrul hari ini, Wong Chen daripada PKR berkata bahawa bekas pegawai bank yang dilantik sebagai menteri itu “terlalu optimis” terhadap kutipan cukai semasa sepanjang tempoh wabak Covid-19 diumumkan.

“Wow, kerajaan ramalkan kutipan cukai pendapatan korporat yang lebih tinggi tahun depan berbanding tahun pra-Covid 2019! Hmmm terlalu optimis nampaknya?

“Untuk tahun 2019, kerajaan mengumpulkan cukai pendapatan korporat sebanyak RM63.75 bilion. Bagi tahun 2021, kerajaan kini menganggar sejumlah RM64.60 bilion.

“Saya berasa kerajaan hari ini yakin bahawa Covid-19 akan diselesaikan pada 1 Januari, seperti yang diramalkan oleh ‘si genius’ Trump,” katanya di platform media sosial merujuk ulasan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai pandemik itu.

Selain itu, Wong Chen juga mengkritik kerajaan kerana mengurangkan subsidi dan bantuan sosial sebanyak 6.4% berbanding tahun 2020.

Beliau berkata bahawa subsidi dan bantuan sosial akan dikurangkan dari RM23.9 bilion pada 2019 dan RM 20.14 bilion pada tahun 2020 kepada RM18.85 bilion untuk tahun 2021.

“Ini adalah penurunan sebanyak 6.4% dibandingkan tahun 2020,” katanya.

Bekas menteri perdagangan dalam negeri Saifuddin Nasution pula turut berkata bahawa Belanjawan 2021 harus menumpukan perhatian untuk kurangkan beban orang ramai ketika tempoh kritikal.

“Kita sedang berdepan krisis kesihatan, ekonomi dan politik. Minggu lepas saya ikut hadir menyampaikan syor PH kepada kjaan.

“Syor yang menyentuh pelbagai perkara tetapi tertumpu fokus yang satu .. ringankan bebanan rakyat melalui bantuan tunai, lanjut moratorium, pengurangan kenaan cukai kepada golongan yang memerlukan.

“Syor kami juga untuk lebih banyak peluang kerja diwujudkan dan mengekalkan pekerjaan sedia ada,” kata ahli Parlimen Kulim Bandar Baru dalam catatan Facebook.

Belanjawan yang dibentangkan hari ini memperuntukkan beberapa insentif kepada rakyat Malaysia, termasuk meningkatkan bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah serta membenarkan pengeluaran dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. – 6 November, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen