SEORANG lelaki warganegara tempatan berusia 66 tahun yang kembali dari England bulan lepas meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kematian di negara itu kepada 60 orang.
Lelaki berkenaan yang mempunyai sejarah penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi itu, meninggal di sebuah hospital di Chon Buri pada Khamis.
Ketua Pengarah Jabatan Pengawalan Penyakit Berjangkit Dr Opas Karnkawinpong berkata lelaki berkenaan tiba di Bangkok pada 19 Okt dan menjalani kuarantin di fasiliti kuarantin kerajaan di Wilayah Chon Buri.
Katanya lelaki itu menunjukkan simptom Covid-19 dan diuji positif beberapa hari kemudian.
“Lelaki itu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, keadaannya bertambah buruk dan meninggal dunia pada 5 November,” katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu, Thailand mencatatkan lapan kes Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah keseluruhan 3,818 sejak penularan wabak itu Januari lepas.
Dr Opas berkata lapan kes baharu itu melibatkan tiga pemandu lori warga Myanmar berusia antara 28 dan 41 tahun yang diuji di sempadan Thailand-Myanmar di Mae Sot.
“Ketiga-tiga pesakit tanpa gejala itu tidak turun dari lori dan mereka dihantar pulang ke Myanmar untuk menerima rawatan,” katanya.
Menurut beliau, lima lagi kes Covid
-19 baharu melibatkan dua warga asing yang melakukan perjalanan dari Switzerland dan India, manakala tiga lagi adalah warga Thailand yang kembali dari Arab Saudi, Ukraine dan Belanda. – Bernama, 6 November, 2020.
Komen