Bagaimana darurat boleh tangani Covid-19, tanya Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak nampak bagaimana pengisytiharan darurat dapat mengurangkan penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

DR MAHATHIR Mohamad berkata beliau tidak nampak bagaimana pengisytiharan darurat yang diminta oleh kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada Yang di-Pertuan Agong dapat mengurangkan penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bekas perdana menteri mengakui jangkitan baharu kes Covid-19 sejak kebelakangan ini tinggi tetapi katanya ia tidak seburuk negara lain, misalnya Amerika Syarikat malah negara-negara jiran.

“Berbanding dengan jiran-jiran kita juga keadaan kita lebih baik.

“Apakah kuasa penuh oleh perdana menteri melalui darurat boleh kurangkan lagi kes Covid-19.

“Apakah yang boleh dilakukan oleh perdana menteri dengan kuasa penuh dari darurat yang tidak boleh dilakukan sekarang,” tanyanya dalam satu tulisan di blognya hari ini.

Malaysia semalam mencatatkan 1,009 kes baharu Covid-19, jumlah jangkitan sebanyak empat angka untuk hari ketiga berturut-turut.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak pasaran saham akan merudum minggu ini jika tidak diisytihar darurat, Dr Mahathir berkata apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Jelaslah dakwaan bahawa pasaran saham akan jatuh merudum jika darurat tidak diisytihar adalah cara untuk memaksa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong isytihar darurat,” katanya.

Beliau juga menyangkal kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin yang katanya cuba memberi gambaran salah mengenai kesan Covid-19 ke atas pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“10,000 anggota polis diserang Covid-19 menggerunkan kita. Tetapi Ketua Polis Negara Hamid Bador dilaporkan berkata jumlah tersebut adalah kumulatif dari Mac.

“Jadi bukanlah 10,000 pada satu masa! Laporan Hamzah tidak sebut perkara ini,” katanya, yang menyifatkan laporan itu bertujuan menunjukkan negara dalam krisis.

Dalam perutusan kepada rakyat pada Sabtu lalu, Muhyiddin berkata Pilihan Raya Kecil Batu Sapi pada 5 Disember dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan tidak boleh ditangguhkan tanpa pengisytiharan darurat.

Menurut Dr Mahathir, sekiranya keadaan kritikal, Parlimen boleh sebulat suara menangguhkan pilihan raya.

“Fikirkanlah, jika berada dalam peperangan, kita nak ada pilihan raya jugakah? Tentu kita tangguh.

“Kita akur akan undang-undang. Tetapi tak akanlah sehingga mati.

“Kita sedar jika diadakan pilihan raya, beribu-ribu akan mati. Nak buat jugakah?” tanyanya.

Beberapa pihak sebelum ini mencadangkan agar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk membenarkan penangguhan sementara pilihan raya dalam keadaan krisis atau bencana.

Bagaimanapun kata Dr Mahathir, Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dipinda jika ada dua pertiga anggota Dewan Rakyat yang bersetuju.

Kes Covid-19 meningkat mendadak di seluruh negara selepas PRN Sabah yang diadakan pada hujung September, dengan kebanyakan kes bertumpu di bukan saja di Sabah tetapi merebak di negeri lain di Semenanjung.

Kes yang direkodkan sepanjang Oktober lalu mencecah lebih 10,000, melebihi jumlah kes yang terkumpul dalam tempoh tujuh bulan antara Mac dan September.

Setakat semalam, Malaysia sudah merekodkan keseluruhan 36,433 kes dengan 277 kematian, sementara 78 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 28 daripada memerlukan alat bantuan pernafasan. – 6 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen