Kerajaan jangka pendapatan rendah, perbelanjaan lebih tinggi kerana Covid-19 


Ragananthini Vethasalam

Pendapatan negara lebih rendah untuk tahun 2020 kerana pandemik Covid-19 manakala perbelanjaan semakin meningkat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

KERAJAAN Persekutuan mengunjurkan pendapatan lebih rendah untuk 2020 kerana pandemik Covid-19, manakala perbelanjaan dijangka meningkat sehingga 6%.

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil kerajaan 2021 oleh Kementerian Kewangan, jumlah pendapatan menurun kepada RM227.3 bilion atau 15.8% dari KDNK berbanding dengan anggaran RM244.5 billion.

“Prestasi pendapatan dijangka akan dipengaruhi secara negatif di tengah aktiviti ekonomi domestik yang lebih perlahan dan anggaran harga minyak mentah yang lebih rendah disebabkan oleh pandemik Covid-19,” kata laporan itu.

Kementerian kewangan mengatakan kekurangan pendapatan yang dianggarkan sekitar 20% dari anggaran itu akan ditampung oleh sumbangan khas dari entiti kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd, Petronas dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Sementara itu, perbelanjaan kerajaan persekutuan dijangka meningkat 6% atau RM17.7 bilion menjadi RM314.7 bilion berbanding anggaran awal RM297 bilion.

Sementara itu, semakan dan penjadualan semula beberapa projek kerana Perintah Kawalan Pergerakan akan menghasilkan penjimatan RM11 bilion dari Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Hutang negara

Pada akhir September, hutang dan liabiliti negara dianggarkan berjumlah RM1.256 trilion, yang setara dengan 87.3% dari KDNK.

Hutang kerajaan persekutuan meningkat dari RM793 bilion (52.5% daripada KDNK) pada tahun 2019 kepada RM874.3 bilion (60.7% daripada KDNK) pada akhir bulan September.

Jaminan Kerajaan, yang merupakan komponen lain dari hutang dan liabiliti negara, meningkat kepada RM177 bilion pada akhir September, daripada RM162.1 bilion untuk tahun 2019.

Hutang tertunggak untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pula berjumlah RM32.3 bilion.

Prospek fiskal untuk 2021

Putrajaya menjangkakan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM236.9 bilion atau 15.1% daripada KDNK untuk tahun 2021, sejajar dengan unjuran kutipan hasil cukai yang lebih tinggi sebanyak RM174.4 bilion dan hasil bukan cukai sebanyak RM62.5 bilion.

Perbelanjaan dianggarkan berjumlah RM322.5 bilion atau 20.5% daripada KDNK. Daripada Perbelanjaan Mengurus (OE) ini yang merangkumi emolumen, caj perkhidmatan hutang serta bekalan dan perkhidmatan dijangka menelan belanja sebanyak RM236.5 bilion.

DE yang dianggarkan berjumlah RM69 bilion akan dibelanjakan untuk projek infrastruktur dan pendidikan dan latihan. – 6 November, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen