SEPANJANG minggu rangkuman ini, Sabah terus menjadi penyumbang besar kepada jumlah harian kes positif Covid-19 di Malaysia yang kini sudah melepasi angka 36,000, setelah kira-kira 10 bulan negara dilanda pandemik koronavirus ini.
Jumlah kes harian berlegar antara 600 hingga melebihi 1,000 kes sepanjang minggu rangkuman ini.
Selain semalam yang mencatat jumlah kes baharu sebanyak 1,009, Rabu mencatat 1,032 kes, sementara Selasa, sebanyak 1,054 kes.
Untuk ketiga-tiga hari yang merekod lebih 1,000 kes ini, Sabah adalah penyumbang kes baharu Covid-19 yang terbanyak.
Semalam, Sabah menyumbang 564 kes (55.9% daripada keseluruhan kes pada hari tersebut); Rabu 4 November, sebanyak 646 kes (62.6%) dan Selasa 3 November, 678 kes (64.3%).
Dengan 1,009 kes yang dilaporkan semalam, Khamis 5 November (sembilan daripadanya kes import), jumlah kes baharu Covid-19 sehingga 12 tengah hari adalah 36,434. Ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19, sebanyak 10,503 kes.
Untuk rekod, catatan kes harian baharu sepanjang minggu tersebut adalah 1,009 (5 November), 1,032 (4 November), 1,054 (3 November), 834 (2 November), 957 (1 November) dan 659 (31 Oktober).
Ketika kes harian baharu mencatat peningkatan, jumlah kes pesakit Covid-19 yang dilaporkan pulih sepanjang minggu rangkuman juga semakin membanggakan, dan ada yang mengatasi jumlah kes baharu.
Paling ketara adalah pada Sabtu 31 Oktober iaitu 1,000 kes.
Pada semalam 5 November, seramai 839 orang lagi pesakit Covid-19 pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sudah melebih 25,000 iaitu 25,654 orang, iaitu 70.4% daripada jumlah keseluruhan kes.
Kes sembuh mengikut negeri, iaitu Sabah (473), Selangor (241), Negeri Sembilan (53), Pulau Pinang (28), Wilayah Persekutuan Labuan (15), Perak (8), Johor (8), Kedah (6), Sarawak (4), Melaka (2) dan Terengganu (1).
Untuk kes pulih pada hari yang lain adalah 839 (5 November), 820 (4 November), 875 (3 November), 900 (2 November) dan 972 (1 November).
Kes kematian dan kes lain
Sepanjang minggu rangkuman, ada dua hari tiada kematian baharu dilaporkan iaitu pada Sabtu, 31 Oktober dan Ahad, 1 November. Bagaimanapun, Selasa, 3 November melihat sejumlah 12 kes kematian dan kesemuanya berlaku di Sabah.
Semalam, 5 November, enam kes kematian dilaporkan, menjadikan jumlah kes sebanyak 277 iaitu 0.8% daripada jumlah keseluruhan kes. Lima lima daripada kes tersebut dilaporkan di Sabah dan satu kes di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.
Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang tempoh ini, adalah 6 kes (5 November), 8 kes (4 November), 12 kes (3 November), 2 kes (2 November), sifar kes (1 November) dan sifar kes (31 Oktober) .
Untuk kes kematian 4 November (7 kes di Sabah dan 1 di Perak); 3 November (kesemua 12 kes di Sabah); sementara 2 November (kesemua kes di Sabah).
Jumlah pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi semalam (5 November) adalah seramai 78 orang, dan 28 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, daripada 1,000 kes penularan di dalam negara, empat (4) kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah. Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 483 kes.
Nilai R-Naught
Pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Malaysia pada Rabu 4 November, Dr Noor Hisham sekali lagi menekankan pentingnya R-Naught (ro) diturunkan kurang daripada 0.5 untuk melandaikan lengkungan penularan Covid-19 di negara ini.
Ro pada awal Gelombang Ketiga (22 September) adalah 2.2 dan berjaya diturunkan kepada 1.5 kira-kira dua minggu kemudian dan semalam, 1.0.
Penurunan Ro itu adalah hasil positif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut Dr Noor Hisham, pihak beliau mensasarkan Ro turun kepada kurang 0.5 dan dijangka dapat dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini.
Bagaimanapun, kata beliau, ia memerlukan kerjasama semua rakyat Malaysia dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah digariskan termasuk tidak keluar rumah kecuali jika diperlukan dan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan sering mencuci tangan.
Penurunan Ro itu, kata beliau, adalah impak positif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.
Kluster dan status terkini kes Covid-19
Secara keseluruhannya sehingga 5 November, terdapat 267 kluster dilaporkan dan 119 daripadanya sudah ditamatkan. Daripada 148 kluster yang aktif, cuma 37 kluster mempunyai pertambahan kes.
Daripada lima kluster baharu yang diumumkan hari ini, dua dilaporkan di Sabah iaitu Kluster Sutera (Kota Kinabalu – 15 kes) dan Kluster Ria-30 (Tuaran – 11 kes ); satu (1) di daerah Petaling, Selangor (Kluster Tamar – 10 kes); satu (1) di daerah Timur Laut Pulau Pinang (Kluster Intan – 9 kes ) dan satu (1), di daerah Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Kluster Danau – 8 kes).
Menurut perincian kes penularan Covid-19 dalam negara, Sabah mencatat 564 kes termasuk 254 kes daripada saringan kontak rapat.
Selangor mempunyai 177 kes termasuk tiga (3) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).
Wilayah Persekutuan Labuan, 92 kes; Negeri Sembilan, 90 kes; Pulau Pinang, 36 kes; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 14 kes; Kedah, tujuh kes; Sarawak, enam kes; Perak, enam kes; Melaka, lima kes; Johor, dua kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, satu kes.
Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memberitahu sidang media pada Rabu, Malaysia masih menutup sempadannya untuk warga asing, termasuk mereka yang bekerja di negara ini dan pada masa ini berada di negara masing-masing.
Menurut beliau, kerajaan Malaysia masih tidak membenarkan warga asing masuk ke negara ini kecuali mendapat kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia.
Larangan ini termasuk untuk pekerja dari Bangladesh yang mempunyai pas kerja jangka panjang di negara ini. Berkuatkuasa 7 September, Malaysia mengenakan sekatan melarang rakyat dari dnegara yang mencatatkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke negara ini termasuk Bangladesh.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan lebih 25,000 orang yang mempunyai pas kerja di Malaysia, meminta kerajaan mereka supaya membantu untuk mereka kembali ke negara ini.
Sementara itu, seramai 61,331 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa. Seramai 9,886 individu sedang menjalani kuarantin wajib selama dua minggu di 67 Hotel dan 19 premis termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan. – Bernama, 6 November, 2020.
Komen