KETIKA ketidakpastian membelenggu pilihan raya presiden 2020 dan belum dapat disahkan siapa bakal menjadi pemenang, Amerika Syarikat (AS) sebaliknya mencatat jumlah jangkitan baharu Covid-19 tertinggi melebihi 100,000 kes buat pertama kali.
AS melaporkan 102,831 kes jangkitan tertinggi pada Rabu - berbanding sebelumnya sebanyak 91,530 pada hari pengundian, lapor Agensi Anadolu.
Kekal sebagai negara paling teruk terjejas di dunia, AS mencatatkan hampir 9.5 juta kes dan lebih 233,000 kematian, menurut Johns Hopkins University.
Di seluruh dunia, terdapat lebih 48.2 juta jangkitan Covid-19 pada Khamis dan lebih 1.2 juta kematian.
Tidak cukup dengan penularan kes yang tinggi, pemilihan presiden masih tiada pemenang, walaupun Joe Biden calon Demokrat dilaporkan mendahului Presiden Donald Trump daripada Republikan.
Biden berjaya merampas tiga negeri dimenangi Trump pada 2016 - Michigan, Wisconsin dan Arizona, dengan memperoleh 37 undi dalam perlumbaan untuk mendapatkan 270 undi.
Bekas naib presiden itu kini memperoleh 264 undi berbanding 214 yang memihak kepada Trump.
Calon Demokrat itu juga mendahului enam undi di Nevada selepas 75% undi dikira, menurut The Associated Press.
Trump mendahului di Georgia, Carolina Utara, Pennsylvania dan Alaska - dan hampir mengumpul 54 undi, namun, andai beliau menang di negeri berkenaan, presiden AS itu masih kekurangan dua undi.
Selepas ketinggalan di belakang Biden pada Rabu, Trump berikrar mahu menuntut penjumlahan semula undi dibuat di Wisconsin, selain memfailkan tuntutan mahkamah untuk menghalang pengiraan undi diteruskan di Michigan dan Pennsylvania. Trump mendakwa berlakunya penipuan dan pelanggaran peraturan.
Sementara itu, pelabur dilihat optimis dengan kemenangan Biden sekali gus menyaksikan kenaikan pasaran hadapan AS.
Niaga hadapan Dow Jones dan S&P 500 masing-masing menokok 1.3% dan 1.8%.
Pada Khamis niaga hadapan Nasdaq melonjak 2.6% apabila tiga indeks utama menunjukkan kenaikan kukuh. – Bernama, 6 November, 2020.
Komen