Tambah baik sistem untuk buat pilihan raya musim Covid-19, kata pemantau


Tambah baik sistem perlu dibuat supaya lonjakan kes Covid-19 tidak berlaku selepas pilihan raya seperti mana yang dialami Sabah sekarang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 6 November, 2020.

PILIHAN Raya boleh diadakan ketika pandemik mengganas kerana banyak negara lain pernah melakukannya, tetapi langkah pencegahan baharu perlu dilaksana supaya tidak memburukkan krisis kesihatan awam, kata pemantau pilihan raya.

Menurut mereka, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) misalnya boleh mengelak kesesakan di pusat pengundian dengan menambah hari mengundi dan meluaskan kelayakan pengundi awal dan pos.

Aspek lain yang boleh dilaksana termasuklah perubahan kaedah berkempen dan memberikan akses media kepada semua parti politik bertanding, tambah mereka lagi.

Mereka mengulas desakan kerajaan Perikatan Nasional yang berterusan mahu mengisytiharkan darurat supaya Pilihan Raya Kecil Batu Sapi di Sabah bulan depan dan Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang boleh ditangguhkan.

Putrajaya meluahkan kebimbangan pilihan raya pada musim Covid-19 akan menyebabkan lonjakan jangkitan, seperti yang berlaku di Sabah selepas pilihan raya negeri, September lalu.

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata Malaysia boleh belajar daripada pengalaman negara seperti New Zealand dan Amerika Syarikat yang mengadakan pilihan raya pada musim Covid-19.

“Pengundi dibenarkan mengundi dalam jangka masa agak panjang berbanding hanya sehari seperti yang kita buat,” kata Fann.

“Ini boleh menyerakkan pengundi keluar mengundi dalam tempoh beberapa hari.

“Di AS, hampir 100 juta orang mengundi sebelum hari pilihan raya, lebih dua pertiga daripada jumlah orang yang berbuat demikian pada 2016.”

Tambahnya lagi, keselamatan pengundi pada pilihan raya boleh dijamin sekiranya SPR meluaskan kelayakan pengundi awal dan pos.

Menurut Fann, kerajaan dan SPR boleh melaksana perubahan ini dengan meminda Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2020 dan Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

“Pengundian pos juga boleh diluaskan kepada semua pengundi di mana mereka boleh mengepos dengan selamat undi mereka ke pegawai pilihan raya atau menghantar undi mereka di kotak undi di pusat pilihan raya terpilih dalam jangka masa tertentu.” – 6 November, 2020.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen