Kumpulan Dr Mahathir tolak had 80 ahli Parlimen bersidang


Kumpulan ahli Parlimen setia kepada Dr Mahathir Mohamad yang membentuk Pejuang menolak had 80 orang wakil rakyat dalam sidang Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2020.

DR Mahathir Mohamad dan tiga ahli Parlimen yang setia kepadanya menolak keputusan Dewan Rakyat menghadkan jumlah wakil rakyat dalam Dewan kepada hanya 80 orang bermula esok, antara langkah untuk mencegah penularan Covid-19.

Empat ahli Parlimen Bebas itu yang merupakan ahli parti Pejuang yang belum berdaftar, berkata alasan Covid-19 untuk menghadkan jumlah ahli Parlimen dalam persidangan Dewan Rakyat tidak berasas.

Tambah mereka lagi, ini bukanlah kali pertama Dewan Rakyat bersidang pada musim Covid-19.

“Terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang telah dilaksanakan di dalam dewan seperti pemasangan penghadang lut sinar dan aturan kerusi secara penjarakan sosial bagi sidang-sidang sebelum ini,” kata mereka dalam kenyataan dikeluarkan malam ini.

Selain Dr Mahathir yang merupakan ahli Parlimen Langkawi, tiga lagi ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan itu ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Awal hari ini, Speaker Azhar Azizan Harun mengumumkan pengurangan jumlah ahli Parlimen dibenarkan bersidang bermula esok, hari pembentangan Belanjawan 2021.

Masa persidangan juga akan bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Daripada jumlah itu, 41 ahli Parlimen adalah daripada pihak kerajaan manakala 39 lagi daripada pembangkang dan Bebas, kata Azhar.

Notis pemasyhuran yang dibacakan Timbalannya Rashid Hasnon menyebut ia merupakan langkah mengekang penularan pandemik Covid-19 di bangunan Parlimen.

“Penentuan ahli Yang Berhormat yang boleh berada dalam Dewan akan ditetapkan oleh parti masing-masing,” kata Rashid.

80 orang ahli Parlimen itu akan diberikan pas khas membolehkan mereka masuk Dewan.

Had jumlah ahli Parlimen itu adalah salah satu daripada sembilan cadangan diusulkan ketua whip parti selepas mesyuarat semalam.

Antara yang hadir mesyuarat itu ialah Mohamed Azmin Ali (Gombak-PN), Ismail Sabri (Bera-BN) and Fadillah Yusof (Petra Jaya-GPS), Takiyuddin Hassan (Kota Baru-PN), Shahidan Kassim (Arau-BN), Nik Muhammad Zawawi (Pasir Puteh-PN), Anthony Loke (Seremban-PH), Johari Abdul (Sg Petani-PH), Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat-PH) dan Rozman Isli (Labuan-Warisan).

Keempat ahli Parlimen daripada Pejuang itu juga berkata mereka tidak dijemput hadir mesyuarat atau membincangkan cadangan itu.

Mereka juga berkata sidang Parlimen boleh diadakan dalam talian yang membolehkan semua wakil rakyat turut serta.

“Di waktu yang sama rakyat disuruh bekerja secara alternatif dan atas talian, namun Kerajaan sendiri mengambil jalan mudah dan keterbelakang.”

Tambah kumpulan itu lagi, semua ahli Parlimen perlu dibenarkan untuk membahaskan Belanjawan 2021 bagi memastikan tiada salah guna kuasa atau penyelewengan berlaku. – 5 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen