68% responden bersetuju dengan nasihat Yang Di-Pertuan Agong supaya semua ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok, menurut kajian dibuat Institut Analisis Strategik dan Kajian Dasar (Insap).
Kajian juga mendapati 54% responden tidak bersetuju pertukaran kerajaan dibuat pada masa ini, dan 49% lagi tidak bersetuju dengan pendapat yang walaupun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, kerajaan baharu akan lebih stabil.
Itu adalah antara dapatan utama kajian pandangan awam selama dua hari yang berkisar kepada persoalan: “Adakah Malaysia perlukan kerajaan baharu?”.
Kajian itu disertai 696 responden.
Timbalan Pengerusi Insap Jacob Lee dalam kenyataan media berkata kajian itu secara umumnya mendapati rakyat meminta ahli Parlimen supaya tidak menganggu kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang kerana pandemik Covid-19 “menyebabkan ia bukan masa sesuai untuk Malaysia menukar kerajaan.”
Dalam kajian sama, 24% lagi responden tidak bersetuju bahawa semua ahli Parlimen patut mendengar nasihat Agong dengan menyokong belanjawan, 8% lagi berkecuali.
“Mereka yang bersetuju melebihi mereka yang tidak bersetuju sebanyak 44%,” kata Lee.
“Kajian menunjukkan rakyat Malaysia umumnya mahukan status quo di kerajaan persekutuan memandangkan gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang melanda negara sekarang,” tambahnya.
Walaupun wujud kebimbangan berkaitan penularan wabak, 45% responden tidak bersetuju dengan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) berbanding 43% yang bersetuju walaupun ia boleh menjejaskan lagi ekonomi negara, 12% responden pula berkecuali. – 5 November, 2020.
Komen