3 lokasi di Sabah bawah PKPD mulai esok


Ravin Palanisamy

PKPD di PTS Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira di Sandakan berkuatkuasa esok hingga 19 November, kata Ismail Sabri Yaakob.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2020.

PUSAT Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira di Sandakan akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa esok hingga 19 November, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara memutuskan tiga lokasi berkenaan diletakkan bawah PKPD selepas mendapat nasihat dan penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sehingga 4 November, saringan Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 440 kes positif yang melibatkan tahanan dan staf di Pusat Tahanan Sementara Tawau.

“Sehingga 5 November, KKM melaksanakan sebanyak 669 saringan dan merekodkan sebanyak 111 kes positif di Penjara Sandakan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, PKPD di PTS Tawau akan melibatkan 1,707 individu yang terdiri daripada 1,603 tahanan dan 104 kakitangan.

Manakala di PKPD Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira pula melibatkan seramai 1,605 individu yang merangkumi 1,308 orang tahanan dan 297 orang kakitangan. – 5 November, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen