MKN akan teliti semula SOP, kata menteri


Ravin Palanisamy

SOP PKPB dan PKPP akan diteliti semula, kata Menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 November, 2020.

PROSEDUR operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 akan diperkemaskan oleh Majlis Keselamatan Negara pada mesyuarat khas akan datang, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, beberapa cadangan sudah diajukan kepada MKN berkaitan SOP sedia ada dan ia akan dinilai, keputusannya mengenainya akan dibuat pada satu mesyuarat khas.

Mesyuarat itu dijangka diadakan pada Sabtu ini.

“Ada gesaan untuk SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan dan perintah kawalan pergerakan bersyarat diperketatkan.

“Bagaimanapun, ada juga cadangan ia dilonggarkan. Jadi, ada pelbagai cadangan.

“Pagi ini, cadangan itu dibentangkan pada mesyuarat teknikal MKN tetapi keputusan belum dibuat kerana ia perlu dibentangkan pada mesyuarat khas MKN.

“Jadi, kami akan bincangkan sekali lagi pada mesyuarat MKN kerana mereka yang buat keputusan kerana ini melibatkan dasar.

“Kami menjangkakan ia akan dibentangkan Sabtu ini,” kata Ismail Sabri pada sidang media harian, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata wujud keperluan untuk SOP PKPP dikaji semula bagi mempercepatkan usaha pencegahan yang lebih berkesan. – 5 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen