3 mukim di Perak, Terengganu dan Negeri Sembilan dikenakan PKPB


Ravin Palanisamy

Tiga mukim di Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu dikenakan PKPB kerana lonjakan kes Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 November, 2020.

LEBIH banyak mukim akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat bermula 7 November kerana wujud lonjakan kes jangkitan Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, mukim itu adalah Parit Buntar, Perak; Rasau di Dungun, Terengganu dan Jimah di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Mukim ini akan diletakkan di bawah PKPB bermula 7 hingga 20 November,” katanya pada sidang media, hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelas Ismail Sabri, PKPB itu akan membolehkan KKM melakukan saringan bersasar di mukim tersebut.

Mukim Parit Buntar melibatkan 45,359 penduduk daripada 7,847 rumah. Rasau di Dungun pula melibatkan 43,687 penduduk dan seramai 24,540 penduduk Jiah terlibat.

SOP cegah wabak di mukim ini adalah sama dengan kawasan lain yang diletakkan di bawah PKPB, katanya lagi.

Selain itu, Ismail juga berkata perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) di Penjara Pokok Sena, Kedah dan enam kawasan di Semporna dan satu di Kunak, Sabah akan tamat seperti dijadualkan kerana risiko jangkitan di sana sudah dikurangkan.

Katanya, Pokok Sena melaporkan 376 kes positif Covid-19 dengan 324 sudah pulih dan 52 orang lagi masih dirawat. Sejak tujuh hari lepas, tiada kes baharu dilaporkan dari sana.

Bagi enam kawasan di Semporna dan satu di Kunak, Ismail berkata walaupun PKPD tamat, Sabah masih di bawah PKPB dan penduduk kawasan itu perlu mematuhi SOP sedia ada.

Manakala, PKPD di Anjung Teduh di Felda Sahabat, Lahad Datu pula akan dilanjutkan hingga 20 November.

Katanya, setakat 4 November lalu, 2,615 saringan sudah dijalankan dan kawasan itu melaporkan 56 kes Covid-19.

Daripada jumlah itu, 28 kes masih dirawat, tambahnya.

Anjung Teduh dikenakan PKPD bermula 24 Oktober dan sepatutnya tamat pada 6 November. – 5 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen