Utamakan pembayaran tunai dalam Belanjawan 2021, kata ahli Parlimen Perikatan


Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Shahidan Kassim berkata bantuan tunai kepada rakyat terjejas akibat Covid-19 perlu disegerakan tanpa berlengah lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2020.

KERAJAAN perlu mengutamakan pemberian wang tunai kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat wabak Covid-19 dalam Belanjawan 2021, kata Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC).

“Kerajaan boleh menangguh perkara-perkara lain tetapi bantuan tunai kepada rakyat mesti disegerakan tanpa berlengah lagi,” kata Pengerusi PNBBC Shahidan Kassim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga perlu meneruskan projek pembangunan dan infrastruktur kerana sektor swasta tidak dapat melakukannya sama seperti sebelum Covid-19.

“Projek-projek yang dilaksanakan mestilah berimpak tinggi terutamanya pembangunan di luar bandar khusus kepada pembinaan jalan dan bekalan air bersih.

“Ini kerana projek mega kadang-kadang hanya akan menguntungkan sesetengah pihak dan bukannya rakyat secara menyeluruh,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan juga harus mempertimbangkan pemberian khusus bantuan kepada nelayan dan pesawah yang terkesan teruk dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Pemimpin Umno itu juga berharap agar kerajaan memberikan insentif kepada penghantar makanan dan barangan yang aktif membantu semasa PKP sehingga sekarang.

“Kerajaan juga disarankan mewujudkan peluang pekerjaan kepada semua terutamanya bagi lepasan sekolah dan Universiti serta memberi peruntukkan kepada NGO terutama yang melibatkan alam sekitar dan penjagaan hutan,” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dijadualkan membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada jam 4 petang esok.

Ini akan menjadi belanjawan pertama kerajaan Perikatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang berkuasa pada Mac tahun ini berikutan kejatuhan Pakatan Harapan. – 5 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen