Boleh sambut Deepavali, sembahyang di kuil dengan SOP ketat


Ravin Palanisamy

Kebenaran bagaimanapun hanya tertakluk dalam kawasan di bawah PKPP dan PKPB dengan SOP ketat, kata Ismail Sabri Yaakob.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2020.

PENGANUT Hindu dibenarkan menghadiri upacara sembahyang di kuil pada hari pertama Deepavali sahaja dan menyambut perayaan dengan jumlah tetamu yang terhad, serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Kebenaran ini bagaimanapun hanya tertakluk dalam kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), tambah beliau.

“Bagi yang berada di kawasan bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), mereka tidak dibenarkan berbuat demikian,” katanya pada sidang media hari ini.

Deepavali akan disambut pada 14 November ini.

Ismail Sabri berkata penganut dibenarkan menghadiri upacara sembahyang di kuil hanya pada hari pertama Deepavali dan tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa.

Upacara sembahyang perlu diadakan bermula dari 7 pagi hingga 12 tengah hari dengan pembahagian sebanyak lima sesi. Hanya 30 minit diperuntukkan untuk setiap sesi, tambah beliau.

Kuil juga perlu disanitasi setiap 30 minit antara setiap sesi upacara sembahyang.

Selain itu, setiap penganut mesti menggunakan aplikasi MySejahtera atau merekodkan kehadiran.

“Penganut yang menghidap penyakit kronik, warga emas dan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun tidak digalakkan hadir,” katanya.

Bagi sambutan Deepavali di kediaman di kawasan PKPP dan PKPB, Ismail Sabri berkata  sambutan di rumah jenis “landed”, dibenarkan daripada kalangan keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa.

“Bagi kediaman rumah strata (bertingkat) dengan keluasan kurang daripada 1500 kaki persegi, tidak boleh melebihi 10 orang. 

“Bagi keluasan 1500 kaki persegi ke atas tidak boleh melebihi 15 orang pada satu-satu masa,” jelasnya.

Manakala bagi mereka yang berada di kawasan PKPD pula, sambutan hanya antara ahli keluarga di dalam rumah sahaja, tidak boleh menerima pengunjung luar.

Setiap individu yang menyambut Deepavali juga diingatkan supaya mengamalkan penjarakan fizikal dan mencuci tangan.

Ismail Sabri berkata keputusan mengenai SOP sambutan Deepavali mendapat persetujuan Menteri Perpaduan Nasional Halimah Mohamed Sadique dan pemimpin agama Hindu. – 5 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen