Ekspo import antarabangsa suntik keyakinan kepada ekonomi dunia


Eskpo Import Antarabangsa China (CIIE) ketiga yang sedang berlangsung memperlihatkan ekonomi negara ini sudah pulih lebih awal daripada kesan wabak Covid-19. – Gambar EPA, 5 November, 2020.

EKSPO Import Antarabangsa China (CIIE) ketiga yang sedang berlangsung memperlihatkan ekonomi negara ini sudah pulih lebih awal daripada kesan wabak Covid-19, sekali gus menyuntik dorongan dan keyakinan kepada ekonomi global yang mengalami kelembapan ketika ini.

Pandangan ini dinyatakan pemimpin beberapa negara dan pertubuhan antarabangsa, semasa menyampaikan ucapan pada majlis perasmian CIIE secara maya semalam.

Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa dalam ucapannya berterima kasih kepada China atas usaha penganjuran CIIE sambil menyifatkan ekspo itu sebagai wadah amat penting bagi Afrika.

Pada masa sama, beliau menegaskan aktiviti pelaburan dan perdagangan antarabangsa penting bagi pemulihan ekonomi global ketika mendepani pandemik.

Dalam pada itu, pemimpin pelbagai negara turut menyuarakan komitmen untuk merapatkan kerjasama dalam menangani ketidakstabilan dan ketidaktentuan ekonomi dunia susulan penularan pandemik.

Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev berkata, CIIE akan menyediakan banyak peluang baharu kepada dunia, di samping memperkukuh keyakinan mewujudkan pembangunan bersama.

“Wadah antarabangsa seperti ini dapat memainkan peranan penting bagi memacu kerjasama ekonomi dan menyelesaikan masalah sosioekonomi di peringkat global susulan wabak Covid-19”, ujar beliau. – Bernama, 5 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen