Kerajaan teliti cadangan persidangan Dewan Rakyat secara dalam talian


KERAJAAN sedang meneliti cadangan untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat secara dalam talian sebagai langkah mengekang penularan Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata walaupun perkara itu tiada dalam Peraturan Mesyuarat, ia boleh dilaksanakan dengan meminda ‘Standing Order’ sahaja.

“Kita sedang meneliti perkara ini dan insya-Allah kalau perkara ini dirasakan boleh dilakukan secepat mungkin, ianya akan dilakukan. Tidak perlu bawa rang undang-undang, hanya kita pinda ‘Standing Order’ sahaja, ini dalam proses,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin mengemukakan usul menghentikan kuat kuasa beberapa Peraturan Mesyuarat berikutan perubahan yang dilaksanakan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 dalam usaha memastikan persidangan Dewan dapat dilaksanakan dengan selamat.  

Fuziah Salleh (PH-Kuantan) yang bangun ketika usul itu dikemukakan meminta penjelasan bahawa beliau difahamkan Dewan Rakyat perlu meluluskan satu rang undang-undang sekiranya mahu membuat persidangan melalui platform digital atau secara maya.

“Saya ingin bertanya, adakah pihak kerajaan sedang berusaha untuk mengambil langkah-langkah membawa satu rang undang-undang sekiranya keadaan (pandemik Covid-19) lebih teruk. Kita minta ia tidak berlaku, tetapi orang kata kita ada pelan B, bagaimana kita nak teruskan sidang Parlimen?,” katanya.

Takiyuddin sebelum itu mengemukakan usul mencadangkan persidangan Dewan Rakyat pada Isnin, 9 Nov sehingga Selasa, 15 Dis berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 2 petang. Usul penangguhan itu dibuat menurut Peraturan Mesyuarat 12(1) dan disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof.

Takiyuddin turut mengemukakan usul menghentikan kuat kuasa beberapa Peraturan Mesyuarat antaranya Peraturan 16(6) bagi membolehkan persidangan Kamar Khas diawalkan kepada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang, mulai Isnin, 9 Nov hingga Selasa, 15 Dis .

Selain itu, menghentikan kuat kuasa Peraturan Mesyuarat 24(3) dan Peraturan Mesyuarat 24(5) bagi membolehkan tempoh pertanyaan jawapan lisan dipendekkan dengan satu pertanyaan tambahan mulai 9 Nov hingga 15 Dis. – 5 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen