LEBIH 99,000 kes koronavirus direkodkan di Amerika Syarikat dalam tempoh 24 jam terakhir, menurut maklumat yang dikumpulkan oleh Universiti John Hopkins.
Negara ini melaporkan 99,660 jangkitan baharu antara jam 8.30 malam Selasa dan 8.30 malam Rabu serta 1,112 kematian.
Lebih 9.4 juta orang dijangkiti dan 233,000 telah meninggal dunia di Amerika Syarikat sepanjang wabak melanda sekali gus menunjukkan angka kematian terburuk direkodkan di seluruh dunia.
Kes melonjak di seluruh negara sejak pertengahan Oktober terutama di utara dan Midwest.
Pandemik itu juga telah memberi kesan terhadap ekonomi AS selain puluhan juta orang hilang pekerjaan.
Ia juga memberi kesan kepada pilihan raya AS dengan lebih 100 juta pemilih membuang undi melalui pos atau secara langsung sebelum Hari Mengundi pada hari Selasa – jumlah pengundi awal tertinggi yang pernah dicatatkan.
Presiden AS Donald Trump yang dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti Covid-19 pada Oktober secara konsisten memandang rendah wabak berkenaan dengan menegaskan bahawa virus itu akhirnya akan “hilang”. – 5 November, 2020.
Komen