Covid-19: SMK Jati di Ipoh diarah tutup 


Penutupan sekolah itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2020.

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Ipoh diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 11 Novovember berikutan kes jangkitan Covid-19.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata sekolah itu akan dibuka semula pada 12 November. 

Katanya, penutupan sekolah itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah diarahkan untuk memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah, dengan manual boleh dimuat turun menerusi portal rasmi www.moe.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

Arahan terbaharu itu menjadikan dua sekolah di Perak pada masa ini ditutup susulan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar serta kakitangan sekolah selepas Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiyah di Padang Rengas, kira-kira 40 kilometer dari sini turut ditutup bagi tempoh sama. – Bernama, 5 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen