Covid-19 jejas kesihatan mental pelajar sekolah, warga tua, kata pakar


Angie Tan

Kaunselor menerima kenaikan drastik pesakit daripada pelajar sekolah terutama yang terlibat peperiksaan seperti PT3 dan SPM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2020.

PANDEMIK Covid-19 menyebabkan kehancuran ekonomi dan kehilangan pekerjaan bagi ramai orang, tetapi selain kesan fizikal seperti itu, kesan terhadap kesihatan mental tidak boleh diketepikan, kata ahli psikologi.

Mereka berkata musuh yang tidak dapat dilihat menimbulkan kerisauan kerana terdapat banyak ketidakpastian, dan ini dapat mempengaruhi kesihatan mental seseorang dengan mudah.

Menurut mereka, remaja dan orang tua paling banyak terkesan dari segi mental.

Mereka berkata ini tidak bermaksud individu dewasa tidak terkesan, tetapi mereka lebih cenderung dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dan mencari jalan keluar secara emosi, tetapi ia sebaliknya bagi remaja dan warga emas.

Kaunselor psikologi berdaftar Alice Lee berkata terdapat peningkatan konsultasi secara drastik sejak wabak itu sampai ke Malaysia pada Mac.

“Sebelum berlakunya pandemik, saya ada kira-kira 10 kes seminggu, tetapi sekarang saya mendapat 15 hingga 20 kes seminggu. Itu peningkatan sekurang-kurangnya 30% hingga 50%, dan kebanyakannya anak-anak yang masih sekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Alice berkata jumlah pesakit dari kalangan murid sekolah meningkat sebanyak 50%, dan mereka kebanyakannya daripada kumpulan pelajar menengah Tingkatan 3 dan 5.

“Mereka bimbang jika peperiksaan akan diteruskan dan risau dengan ketidakpastian. Sebilangan murid juga mempertimbangkan untuk berhenti sekolah.

“Ada juga murid yang terpaksa berpindah sekolah, seperti murid Tahun 6 sekolah rendah yang masuk ke Tingkatan 1. Walaupun dalam keadaan biasa ia adalah satu perubahan besar, dan kadar keciciran murid boleh meningkat jika ia tidak dikendalikan dengan baik,” dia berkata.

Alice berkata beliau membantu pesakit berdasarkan kes masing-masing, seperti mengatur supaya koordinasi antara ibu bapa dan sekolah jika kebimbangan murid itu berpunca daripada pembelajaran.

“Sebagai contoh, jika ada banyak kerja rumah, maka ibu bapa boleh meminta sekolah sekiranya boleh mengurangkan jumlahnya.

“Semasa di rumah, ibu bapa juga mempunyai banyak peranan untuk dimainkan termasuk sebagai saluran komunikasi kerana anak-anak sudah beberapa bulan tidak bersekolah, dan berasa terasing dari sekolah sebagai kesannya,” katanya.

Beliau berkata walaupun terdapat kelas dalam talian, ia sangat bergantung kepada disiplin diri murid, yang kebiasanya agak teruk.

Selain murid sekolah, Alice berkata turut mengadakan konsultasi dalam talian dengan pelanggan warga emas yang tinggal sendirian.

“Mereka tidak mempunyai anak, tidak boleh keluar, dan akibatnya mereka berasa sangat kesunyian. Jika mereka tidak mempunyai tujuan hidup, maka sangat berbahaya kerana mereka boleh bunuh diri pada bila-bila masa.

“Jika anda mempunyai warga emas di rumah, pastikan dengan teliti sama ada terdapat perubahan drastik terhadap gaya hidup mereka. Contohnya, jika mereka tidak suka ke kebun seperti yang biasa dilakukan dan hanya duduk di rumah. Anda harus bertindak dan menghabiskan lebih banyak masa dengan mereka,” kata Alice.

Sementara itu, katanya, orang dewasa juga terpaksa berdepan pelbagai situasi yang menekan seperti kehilangan pekerjaan, masalah pendapatan dan lain-lain, walaupun mereka lebih cenderung dapat mengatasi tekanan tersebut berbanding golongan muda dan warga emas.

Seorang lagi kaunselor, Lee Shae Nee berkata kebanyakan orang dewasa tahu mereka perlu terlebih dahulu menjaga diri sendiri sebelum boleh menolong orang lain, dan dengan itu lebih mampu mencari jalan keluar terhadap masalah mereka.

Ahli keluarga disaran lebih peka dengan perubahan sikap dan emosi warga emas yang tinggal bersama mereka kerana Covid-19 turut memberi kesan kepada golongan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2020.

Shae Nee berkata individu dewasa dapat menilai kesejahteraan emosi mereka untuk pemahaman lebih baik mengenai kesihatan mental sendiri.

“Anda boleh bertanya kepada diri sendiri, dari skala 1 hingga 10, bagaimana perasaan anda hari ini? 1 sangat baik, 2 santai, 3 tenang, 4 baik, 5 adalah permulaan kebimbangan, manakala 8 dan 9 menghampiri situasi gangguan, dan 10 adalah gangguan mental.

“Jika anda berasa sudah mencapai had, anda perlu meminta pertolongan. Anda boleh mendekatkan diri dengan keluarga atau rakan anda, atau mungkin juga menghilangkan tekanan melalui senaman.”

Shae Nee memberi amaran yang keadaan kesihatan mental akan bertambah buruk jika pandemi berlanjutan, menekankan pentingnya pencegahan.

“Banyak memberi fokus kepada kesan ekonomi Covid-19 tetapi mengabaikan kesihatan mental mereka sendiri, tetapi ini sama seperti demam biasa, semakin lama anda mengabaikannya, ia akan menjadi semakin.

“Kesihatan mental juga sama, kita selalu berada dalam keadaan tertekan, tetapi kita tidak tahu bila keadaan buruk akan berlaku.”

Dengan semua orang tertekan mengenai banyak perkara, penting untuk mencari jalan mengatasi, katanya. 

Bagaimanapun, mereka yang berasa tertekan secara mental selama lebih dua minggu perlu mendapatkan bantuan profesional.

“Sekiranya rakan atau keluarga anda tidak dapat meredakan tekanan itu, atau mereka mungkin membuatkannya bertambah buruk, sebaiknya anda meminta pertolongan profesional,” kata Shae Nee.

Sementara itu, Alice berkata setiap orang sedikit tertekan kerana ketidakpastian disebabkan wabak itu, dan setiap orang perlu peka terhadap kesihatan mental insan di sekeliling mereka untuk melalui saat sukar ini.

Dalam tempoh antara 25 Mac hingga 19 Oktober, hotline kesihatan mental yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan, Mercy Malaysia, dan organisasi amal lain menerima sejumlah 36,269 panggilan.

Antaranya, 50% memerlukan bimbingan emosi. Dalam kumpulan peratusan itu, 14.7% bertanya mengenai wabak penyakit, 8.8% mengenai keganasan rumah tangga, 6.8% meminta sumbangan atau bantuan keperluan asas, 3.3% mengenai aduan, 2.2% berhubung penyakit mental sementara baki 1.1% adalah mengenai masalah kesihatan. – 5 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen