MELIHAT situasi negara yang masih berperang dengan pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan rata-rata kehidupan rakyat, kerajaan digesa agar bersedia memperuntukkan perbelanjaan lebih besar dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan, Jumaat ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata belanjawan itu juga perlu bertumpu kepada kebajikan rakyat yang merangkumi pelbagai kumpulan sasar.
“Pembentangan belanjawan kali ini perlu memastikan kesejahteraan rakyat menjadi teras utama.
“Pelbagai isu termasuk pengangguran belia, kemiskinan, peluang pekerjaan, industri kecil dan sederhana yang terjejas kerana penularan Covid-19, wajar diberi keutamaan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata golongan wanita warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) juga tidak seharusnya dipinggirkan.
Sivamurugan berkata selain itu bantuan khas perlu diwujudkan untuk kelompok yang memerlukan termasuk mahasiswa dan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Bantuan khas itu boleh diberikan dalam bentuk subsidi, pengurangan yuran serta penangguhan pinjaman pendidikan, katanya.
“Rata-rata masih ada pelajar yang terkesan, kita harap ada bantuan khas dan berterusan untuk kelompok ini lebih-lebih lagi bagi pelajar yang keluarganya hilang pekerjaan atau kurang punca pendapatan.
“Kita tidak mahu pelajar turut terbeban kerana mereka memerlukan kewangan yang cukup untuk meneruskan pengajian,” katanya.
Belanjawan 2021 akan dibentangkan Jumaat ini (6 Nov) selepas ditangguhkan daripada tarikh asal yang ditetapkan pada 2 Oktober. – Bernama, 4 November, 2020.
Komen