PERTUBUHAN Pelindung Khazanah Alam (Peka) mendakwa kerja pembalakan dan membersihkan ladang di Hutan Lentang, Bentong yang telah mendapat kelulusan kerajaan negeri, memasuki sebahagian tanah resort persendirian, Tanah Aina.
Presiden Peka Shariffa Sabrina Syed Akil, yang juga pengarah urusan Tanah Aina berkata sekurang- kurangnya enam meter tanah kawasannya dicerobohi pembalak untuk dijadikan laluan keluar masuk membawa kayu balak.
“Pihak Aina melantik juru ukur bertauliah yang mengesahkan satu laluan tanah dibuat dan memasuki sebahagian lot 26148 Tanah Aina Fareena sebanyak enam meter,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Shariffa Sabrina berkata beliau menyedari adanya kegiatan pembalakan selepas mengesan Sungai Kenui yang terletak di laluan resortnya tercemar pada 27 Oktober lalu.
Selepas membuat tinjauan, beliau mendakwa hampir empat hektar kawasan Hutan Simpan Lentang diteroka oleh pembalak. Mereka bukan saja menyebabkan pencemaran sungai tetapi juga hakisan tanah kerana membuka laluan di kawasan tanah bercerun tinggi.
Shariffa Sabrina bimbang kejadian tanah runtuh seperti di Lebuh Raya Karak dan Hutan Simpan Lentang pada 2015 akan berulang jika kegiatan pembalakan itu terus dibenarkan.
Kerja pembalakan itu bermula pada 15 Oktober lalu dan dibenarkan sehingga 14 Januari ini, katanya, berdasarkan papan tanda notis yang dipasang di kawasan berdekatan.
Notis itu juga menyebut lesen pembalakan tersebut dikeluarkan kepada bekas ketua pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Azemi Kassim.
Menurut Shariffa Sabrina, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Bentong pada 28 Oktober, dan kemudian memfailkan aduan rasmi kepada pentadbir tanah Bentong pada Isnin.
“Salinan laporan turut dihantar di Jabatan Pengairan dan Saliran dan Pejabat Hutan Daerah Bentong,” katanya.

Sebelum ini tular sepotong video yang dirakam oleh Shariffa Sabrina sendiri menunjukkan kemusnahan hutan Lentang yang didakwa akibat diterokai untuk aktiviti pembalakan dan pembersihan ladang.
Dalam rakaman itu, beliau mendakwa penerokaan hutan itu tidak dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan menarah cerun bukit.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bagaimanapun menafikan akvititi pembalakan itu memasuki sebahagian tapak resort Tanah Aina.
Sungai dan jalan pengeluaran balak yang diterokai oleh pihak pembalak merupakan tanah milik kerajaan, kata pengarahnya Mohd Hizamri Mohd Yasin.
“Semakan oleh pentadbiran ini mendapati sungai tersebut adalah terletak di atas tanah kerajaan dan pelesen telahpun mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Bentong untuk melalui kawasan sungai tersebut.
“Pelesen juga memohon dan sedang menunggu kebenaran jabatan untuk menebang pokok berhampiran kawasan lesen ini untuk dijadikan sebagai kayu jambatan.
“Jalan pengeluaran yang dibina juga terletak di atas tanah milik kerajaan di mana pelesen juga mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Tanah dan Daerah Bentong dan pemilik tanah yang terlibat,” katanya.
Bagaimanapun Himzari mengakui pihak pembalak tidak mematuhi SOP apabila terdapat sisa penolakan jalan yang masuk ke dalam sungai.
Mereka diarah menghentikan kerja membina jalan yang melintasi Sungai Kenoi, tambahnya.
“Pentadbiran ini membuat teguran supaya pelesen mengambil langkah membersihkan sisa tersebut dengan segera dan menghentikan kerja membina jalan sehingga sungai tersebut dibersihkan,” katanya.
Himzari berkata pihaknya mengarahkan pemegang lesen pembalakan mengambil langkah mitigasi dan merujuk Garis Panduan Jalan Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia 2013 untuk memastikan kadar pencemaran adalah seminima mungkin. – 4 November, 2020.
Komen