Parlimen tutup jika berlaku penularan Covid-19, kata speaker


Mohd Farhan Darwis

Parlimen akan ditutup jika berlaku penularan Covid-19 di situ, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2020.

BANGUNAN Parlimen akan ditutup sekiranya terdapat kes jangkitan positif wabak Covid-19, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata ahli Parlimen dan juga petugas di bangunan berkenaan perlu menjalani saringan ujian Covid-19 dua minggu sekali.

“Perlu diingatkan apa-apa jangkitan di Parlimen mungkin akan menyebabkan bangunan Parlimen ditutup sekiranya didapati perlu berbuat demikian.

“Sekiranya ada kes positif di kompleks Parlimen, pihak Kementerian Kesihatan akan membuat penilaian terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya,” katanya.

Kenyataan Azhar itu dibacakan Timbalan Speaker Azalina Othman.

Azhar berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ahli Parlimen turut dinasihatkan menghadkan pergerakan masing-masing semasa di luar premis Parlimen sepanjang tempoh persidangan serta mengelakkan bergaul atau menghadiri majlis keramaian dan tempat sesak dan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan dengan ketat.

Mereka juga dinasihatkan tidak lagi mengadakan majlis jamuan atau bermesyuarat di dalam kelompok yang besar semasa di luar Dewan sama ada di premis Parlimen atau pun di luar premis.

“Sekiranya ahli Yang Berhormat perlu bermesyuarat atau berkumpul secara fizikal, dipohon mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak MKN dan KKM dengan ketat.

“Sepertimana maklum, susulan daripada peningkatan kes penularan wabak Covif-19 ketika ini, langkah-langkah pencegahan telah dan sedang diambil dalam memastikan persidangan Dewan Rakyat dapat dilaksanakan dengan selamat,” katanya.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata terdapat kakitangan Dewan Negara yang positif Covid-19 selepas ujian saringan dijalankan pada 28 dan 30 Oktober lalu. – 4 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen