SEMBILAN mukim di Seremban akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selama dua minggu mulai Jumaat, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Ismail berkata PKPB akan dikuatkuasakan di Ampangan, Seremban, Bandar Seremban, Rasah, Setul, Pantai, Lenggeng, Rantau dan Labu.
Beliau berkata perkara ini diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan.
“PKPB akan dikuatkuasakan bermula 5 November hingga 18 November yang meliputi sembilan mukim,” kata Ismail.
Ismail berkata peraturan PKPB di Seremban akan mengikut peraturan di Selangor dan negeri lain yang kini berada di bawah perintah kawalan yang sama.
Menteri kanan itu juga berkata MKN bersetuju untuk menamatkan perintah sekatan kawalan bagi penjara di zon utara dan Selangor berikutan penurunan kes Covid-19.
Bagaimanapun, bagi Penjara Seberang Perai dan kakitangan kuarters, dengan nasihat Kementerian Kesihatan, MKN bersetuju melanjutkan PKPD kerana masih ada kes Covid-19 yang dikesan di kawasan ini.
“PKPD bagi Penjara Seberang Perai dan kuarters akan dilanjutkan hingga 18 November,” katanya. – 3 November, 2020.
Komen