SEBANYAK 106 kompaun berjumlah RM212,000 telah dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sejak Januari hingga September lepas terhadap pihak yang melepaskan sisa kimia dan bahan pencemaran di sungai negeri ini.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata sebanyak 91 pertuduhan dengan denda sebanyak RM915,000 juga dihasilkan oleh JAS bagi kesalahan berkenaan.
Selain itu kata Hee, sebanyak dua notis pemberitahuan kesalahan, dua surat arahan, satu tindakan perobohan bersepadu dan satu kertas siasatan telah dibuka oleh Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bagi kes pencemaran sungai.
Beliau berkata bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, sebanyak lapan PBT telah mengenakan tindakan dengan mengeluarkan kompaun terhadap pesalah pencemaran.
“Majlis Bandaraya Shah Alam mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM5,000, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (10 kompaun berjumlah RM5,250), Majlis Perbadaran Klang (dua kompaun), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (dua kompaun) dan Majlis Perbandaran Selayang (kompaun berjumlah RM40,000).
“Majlis Perbandaran Kajang (211 kompaun), Majlis Perbandaran Kuala Langat (kompaun berjumlah RM3,500) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (kompaun berjumlah RM3,400),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai jumlah kompaun dan tindakan penguatkuasaan yang dikenakan kerajaan negeri terhadap pencemar alam sekitar sehingga kini.
Tambah Hee, langkah kawalan dan tindakan kerajaan negeri melalui Luas dalam mengatasi pencemaran sumber air pula adalah berdasarkan 11 usaha dalam Pelan Tindakan Bersepadu Menangani Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor.
Antara usaha berkenaan katanya ialah kajian semula perundangan Enakmen Luas 1999 melibatkan peningkatan jumlah denda, kompaun dan penjara, mengadakan penyelarasan antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan, mempergiatkan pemantauan berkala bagi pematuhan syarat kepada premis berlesen oleh Luas serta mengenal pasti peralatan mengesan pencemaran bau yang bersesuaian.
“Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor pula sentiasa memantau keadaan rizab sungai dan akan melaporkan kepada Luas dan PBT sekiranya terdapat aktiviti menjejaskan kualiti air sungai,” katanya. – Bernama, 3 November, 2020.
Komen