Penjara tidak benar lawatan walau PKPD tamat


Jabatan Penjara tidak akan benarkan sebarang bentuk pertemuan dan program melibatkan banduan dan akan terus pertingkat SOP bagi elak sebarang jangkitan berulang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2020.

JABATAN Penjara tidak akan membenarkan lawatan ke penjara dan pusat pemulihan yang bukan lagi berada di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bagi mengelakkan kes Covid-19 berulang.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan lapan kemudahan penjara dan pemulihan di bawah Jabatan Penjara tidak lagi dikenakan PKPD.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar berkata keputusan menamatkan penjara daripada PKPD dibuat oleh MKN semalam.

“Walaupun keadaan sekarang terkawal, Jabatan Penjara tidak akan membenarkan sebarang bentuk pertemuan dan program yang melibatkan banduan dan akan terus meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) serta menguruskan tahanan dari semasa ke semasa untuk mengelakkan sebarang jangkitan,” Zulkifli berkata dalam satu kenyataan.

Beberapa kluster Covid-19 di penjara di negeri sebelah utara muncul susulan wabak besar-besaran dalam beberapa bulan terakhir.

Zulkifli berkata dari 1 September hingga November, Jabatan Penjara bersama dengan Kementerian Kesihatan melakukan 63,730 pemeriksaan terhadap tahanan, kakitangan dan anggota keluarga dari semua institusi penjara di seluruh negara.

Lapan kemudahan berkenaan adalah Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang, Pusat Koreksional Puncak Alam, Penjara Sungai Petani dan Pusat Pemulihan Perlis.

Selain mematuhi SOP ketat yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan, Zulkifli berkata mereka juga merawat dan mengasingkan individu yang disahkan positif virus tersebut.

Beliau juga berkata sudah mengkuarantin semua tahanan, kakitangan dan anggota keluarga serta kenalan rapat yang berpotensi dijangkiti Covid-19.

Pada 15 Oktober, Zulkifli berkata perintah menangguhkan penghantaran tahanan ke Jabatan Penjara oleh semua agensi penguatkuasaan dikeluarkan untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19 melalui banduan reman atau tahanan.
 
“Selepas kuarantin dan perintah sekatan, penularan Covid-19 di kalangan institusi penjara terkawal dengan peningkatan kes pemulihan. Pada 2 November, sejumlah 3,721 pemulihan dicatatkan.” – 3 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen