BELANJAWAN 2021 perlu menimbangkan elaun khas kepada guru untuk meringankan beban mereka yang turut terkesan akibat pandemik Covid-19, kata bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik.
Beliau yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam mencadangkan agar kerajaan memberikan elaun khas kepada semua guru untuk tempoh enam bulan kerana mereka terus mengajar walaupun sekolah ditutup kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Elaun khas ini akan membantu meringankan beban guru yang terpaksa menambah baik ‘connectivity’ dan peralatan digital mereka di rumah.
“Ia juga akan membantu para guru merangka kurikulum yang lebih inovatif ketika pandemik Covid-19 ini berlaku, terutama apabila kaedah pedagogi arus perdana sudah tidak lagi sesuai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengemukakan cadangan elaun dalam rangkuman lima saranan kepada kerajaan untuk dipertimbang dimasukkan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.
Dalam cadangannya, Maszlee turut menyarankan Putrajaya supaya memberi insentif khas kepada keluarga miskin yang menghantar anak ke sekolah.
Beliau memetik kajian Unicef yang mendedahkan 1 daripada 5 murid hilang minat ke sekolah selepas PKP, sementara mereka yang ke sekolah pula hilang semangat untuk belajar.
“Insentif khas ini akan memastikan keluarga yang terjejas mampu menghantar anak-anak tersebut kembali ke dalam sistem pembelajaran mereka.
“Langkah ini akan menyelamatkan hampir 1.2 juta anak-anak seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, Maszlee mencadangkan kerajaan untuk meneruskan bantuan makanan berkhasiat kepada keluarga miskin walaupun sekolah ditutup bagi membendung penularan Covid-19.
Beliau juga mencadangkan bantuan kepada pengusaha dan pekerja kantin sekolah, yang juga terjejas apabila sekolah ditutup.
Untuk pensyarah di institusi pengajian tinggi awam, Maszlee mencadangkan geran khas untuk menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang berkualiti.
Geran itu katanya akan membantu lebih 35,000 pensyarah di seluruh negara.
Maszlee kini wakil rakyat bebas selepas mengumumkan menarik diri daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang sedang menunggu kelulusan pendaftaran.
Beliau sebelum ini ketua penerangan dalam parti yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad dan bekas ahli Parlimen Bersatu. – Bernama, 3 November, 2020.
Komen