Kerajaan mahu jumpa Malindo Air bincang nasib pekerja, kata menteri


Chan Kok Leong

Malindo Air yang terkesan teruk akibat penularan Covid-19 mengecilkan operasinya daripada 3,200 kakitangan kepada 1,000.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2020.

PUTRAJAYA akan bertemu dengan pihak pengurusan Malindo Air untuk menyelesaikan isu pemberhentian lebih 2,000 kakitangannya minggu lalu, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan Malindo Air bersama Perkeso dan Jabatan Perhubungan Perusahaan mengenai proses perundangan dan kebajikan kakitangan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat sehingga semalam (2 November) terdapat 31 aduan mengenai pemecatan tidak adil, dengan 24 telah diselesaikan sementara tujuh masih dalam proses.

“Kita jangkakan banyak lagi kes kerana kakitangan ada tempoh 60 hari untuk mengemukakan aduan,” katanya.

Saravanan yang juga ahli Parlimen Tapah menjawab soalan P Kasthuriraani (Batu Kawan-Pakatan Harapan) mengenai bagaimana kerajaan membantu kakitangan Malindo Air yang hilang pekerjaan minggu lalu.

The Malaysian Insight melaporkan mereka yang terlibat menerima sehingga tiga bulan gaji sebagai pampasan, yang akan dibayar secara ansuran.

Malindo Air yang terkesan teruk akibat penularan Covid-19 mengecilkan operasinya daripada 3,200 kakitangan kepada 1,000. – 3 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen