Perluas subsidi upah bantu pekerja gaji sederhana, kata kumpulan majikan


Ragananthini Vethasalam

Kira-kira 800,000 pekerja hilang pekerjaan merangkumi pekerja di sektor informal dan pekerja asing termasuk pendatang tanpa izin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2020.

PUTRAJAYA perlu memperluas perlindungan Program Subsidi Upah (PSU) merangkumi mereka yang berpendapatan atas RM4,000 kerana 52% daripada 90,000 yang hilang pekerjaan tergolong dalam golongan pendapatan sederhana, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah eksekutifnya Shamsuddin Bardan berkata 52% daripada mereka yang diberhentikan datang dari kategori professional, pengurus dan golongan teknikal.

“Sudah tentu mereka tergolong dalam kategori bergaji tinggi, golongan yang dibayar lebih RM4,000 sebulan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata majikan lebih rela menjaga pekerja mereka yang termasuk dalam kategori berpendapatan rendah kerana hanya mereka bergaji di bawah RM4,000 sahaja yang layak mendapat PSU.

Majikan tidak boleh memberhentikan pekerja mereka semasa PSU dan selama tiga bulan selepas itu.

“Dengan cara itu mereka yang termasuk dalam kategori ini sepatutnya tidak diberhentikan.

“Lebih 2.8 juta orang telah mendapat manfaat daripada PSU. Ini juga membantu majikan untuk tidak memberhentikan pekerja mereka,” katanya.

Beliau berkata MEF telah mengusulkan kepada kerajaan untuk memperluas program ini kepada kelompok berpendapatan sederhana dan menyemak semula maksimum 200 pekerja setiap syarikat.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Abdul Halim Mansor berkata 90,000 kehilangan pekerjaan yang dilaporkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hanya merangkumi penyumbang dana tersebut.

Angka sebenar katanya mungkin lebih 800,000 kerana ia merangkumi pekerja di sektor informal dan pekerja asing termasuk pendatang tanpa izin.

Halim mengingatkan bahawa kadar pengangguran tidak lama lagi akan mencapai satu juta.

“Apabila majikan mengemukakan tuntutan kepada Perkeso dan apabila bayaran diterima, pekerja tidak lagi bekerja di syarikat itu,” katanya sambil menekankan kekurangan skim tersebut.

Katanya terdapat sejumlah besar pekerja yang masih bergelut dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi kerana mereka tidak tahu berapa lama akan mendapat kerja. Ini termasuk mereka yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Halim berkata tidak seperti mereka yang diberhentikan, golongan ini juga tidak menerima bantuan daripada kerajaan kereja masih bekerja walaupun sedang bercuti tanpa gaji.

“Pekerja yang berusia di atas 40 tahun yang diberhentikan sukar untuk mendapat kerja baharu kerana faktor usia,” katanya sambil menambah mereka yang berada dalam kumpulan umur itu juga akan mempunyai perbelanjaan yang lebih tinggi.

Oleh itu MTUC telah mengusulkan kepada kerajaan untuk menempatkan kembali pekerja tersebut dan melengkapkan mereka dengan kemahiran keusahawanan.

Putrajaya mengumumkan PSU pada April sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi untuk melindungi keselamatan pekerja dan membantu majikan.

Kerajaan hanya memberi subsidi upah untuk 200 pekerja setiap syarikat yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

Kedua-dua majikan dan pekerja mesti memberi sumbangan kepada Perkeso agar layak mendapat subsidi.

Pada 16 Oktober 2020 sejumlah RM11,998 bilion subsidi gaji diluluskan untuk faedah lebih 322,150 majikan dan lebih 2,639 juta pekerja.

Permohonan untuk PSU yang bermula pada 1 Oktober akan dibuka sehingga 31 Disember 2020. – 3 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen