KKM mampu tangani penularan Covid-19 di Sabah, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan tahap kesiapsiagaan KKM jauh lebih baik jika dibandingkan permulaan penularan di negara ini pada Mac dan April.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mempunyai kemampuan mencukupi untuk menangani penularan pandemik di Sabah, tegas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menafikan dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa situasi di Sabah semakin kritikal, dan menegaskan tahap kesiapsiagaan KKM jauh lebih baik jika dibandingkan permulaan penularan di negara ini pada Mac dan April.

“(Ada) pelbagai dakwaan seperti kekurangan katil. Kalau kita lihat hari ini kes discaj di Sabah pun meningkat.

“Dan juga sebelum pilihan raya negeri kita telahpun gerakkan warga kerja di Sabah dan juga di Semenanjung untuk ke Sabah, dan kita telahpun menghantar PPE (peralatan perlindungan peribadi) dan sebagainya.

“Kita telah luluskan perolehan kecemasan darurat untuk Sabah sebanyak RM25 juta, iaitu RM18 juta untuk PPE dan RM7 juta lagi diagihkan ke hospital dan pejabat kesihatan daerah” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya lagi, KKM masih memantau perkembangan dan stok PPE di Sabah.

“Setakat ini kita lihat masih boleh bertahan 29 hari, tetapi ada yang bertahan sehingga 97 hari.

“Kita juga banyak menerima sumbangan dari kerajaan negeri Sabah dan NGO,” jelasnya.

Dr Noor Hisham juga berkata Hospital Semporna telah dinaik taraf untuk merawat pesakit Covid-19, selain hospital medan dan pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah diwujudkan di negeri itu.

“Pada keseluruhannya di Sabah kita ada 8,539 katil, iaitu 1111 katil di hospital dan 7,428 di pusat pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah.”

Bagi unit rawatan rapi, sebanyak 149 katil ditempatkan, dimana 130 dikhaskan untuk pesakit Covid-19. 

Manakala alat bantuan pernafasan sebanyak 193 ventilator dengan penggunaan pada 27 peratus, tambah Dr Noor Hisham.

“Jadi banyak lagi kapasiti kita. Mereka yang mengatakan sistem kesihatan kita tak mencukupi mungkin dia tak turun padang untuk melihat.”

Terdahulu hari ini portal Free Malaysia Today melaporkan petugas barisan hadapan di Sabah terpaksa mendahulukan wang mereka sendiri untuk membeli PPE kerana kekurangan bekalan.

Seorang petugas kesihatan di sebuah hospital di pedalaman Sabah yang enggan dikenali memberitahu PPE yang dibeli itu termasuk yang dibeli secara atas talian dan tidak mempunyai kelulusan KKM. – 2 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen