Tak boleh buat sidang Dewan Rakyat maya, kata menteri


Sidang Dewan Rakyat tidak boleh dibuat secara maya, kata Menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2020.

PERSIDANGAN Dewan Rakyat tidak boleh dijalankan secara maya kerana tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat di samping kekangan lain, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Oleh itu katanya pembentangan semua rang undang-undang, termasuk belanjawan harus dijalankan di Parlimen.

“Menurut ingatan saya, berdasarkan Perkara 62(5) (Perlembagaan Persekutuan), kalau dari segi undian, mesti dibuat dalam Parlimen dan tidak boleh dibuat di luar… (ini termasuk) bajet dan rang undang-undang yang dibentangkan setiap hari, undiannya mesti di Parlimen,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur.

Menurutnya berdasarkan peraturan itu, persidangan harus dijalankan seperti biasa namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberi contoh persidangan secara maya Parlimen Australia yang menyaksikan ahli parlimennya tidak boleh mengundi selain tidak boleh mencelah semasa perbahasan.

“Jadi banyak kekangan yang menyukarkan, maka itu kita teruskan sidang Parlimen secara biasa tetapi dengan SOP yang ketat,” katanya.

Ismail Sabri berkata sebagai langkah berjaga-jaga, semua ahli Parlimen juga diwajibkan menjalani ujian ujian calitan tiga hari sebelum persidangan bermula.

“Ahli Parlimen dari Sabah pula mesti laksanakan kuarantin dahulu, barulah dibenarkan masuk ke Parlimen, dan semua ahli Parlimen juga hanya dibenarkan membawa dua pegawai sahaja yang turut menjalani swab test,” katanya. – Bernama, 2 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen