Mujahid dipanggil Bukit Aman kerana pertikai pelantikan PM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa tiba di Bukit Aman untuk memberi keterangan berkaitan kenyataan dikeluarkannya, Mac lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 November, 2020.

POLIS akan memanggil Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa untuk diambil keterangan di Bukit Aman berhubung kenyataan yang mempertikaikan kuasa Yang Di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, Mac lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, pada Mac lalu, Mujahid mengeluarkan kenyataan itu melalui media sosial.

“Kami menerima beberapa laporan polis berhubung kenyataan Mujahid itu. Disebabkan itu, kami memanggilnya untuk merakam keterangan hari ini pada jam 5.30 petang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Selain Mujahid, seorang lagi pemimpin, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad disiasat atas kesalahan yang sama.

“Keterangan Khalid sudah dirakam baru-baru ini dan keterangan mereka diperlukan untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Pada Mac lalu. Kenyataan Mujahid yang mempertikai pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri tular di media sosial dan dituduh menghina Agong dan Majlis Raja-Raja.

Turut tular adalah kenyataan Khalid yang mendakwa Pakatan Harapan mempunyai majoriti tetapi gagal dipilih menjadi kerajaan kerana Agong tidak yakin dengan gabungan itu yang hanya mempunyai 40 ahli Parlimen Melayu. – 2 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen