PKPD di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu dilanjutkan


Sabah terus menerus merekodkan peningkatan kes harian tertinggi sejak bulan lepas dan ramai yang menyalahkan peningkatan drastik itu akibat daripada pilihan raya Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 1 November, 2020.

PUSAT Tahanan Sementara (PTS) di Kota Kinabalu telah diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan kes Covid-19 di situ.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakod berkata keputusan melaksanakan PKPD selama dua minggu itu dibuat selepas 56 tahanan disahkan positif Covid-19.

“Bagi mengekang penyebaran virus, kerajaan hari ini memutuskan PKPD di pusat tahanan itu bermula 3 November sehingga 16 November.

“Setakat 30 Oktober, seramai 261 tahanan dan juga pekerja telah menjalani ujian saringan yang mana kita mendapati 56 daripada mereka positif.

“PKPD di pusat tahanan itu akan melibatkan 1,820 tahanan dan 114 pekerja. Di bawah PKPD, semua aktiviti di pusat tahanan itu akan ditangguhkan. Ahli keluarga tidak dibenarkan melawat,” kata Ismail Sabri dalam sidang medianya hari ini.

Dalam masa sama, beberapa kawasan di Sabah, termasuk beberapa penjara juga telah dikenakan PKPD berikutan peningkatan kes Covid-19.

Sejak beberapa minggu lalu, Semporna, Kudat, Kunak dan Tawau telah diletakkan di bawah pelaksanaan PKPD.

Sabah terus menerus merekodkan peningkatan kes harian tertinggi sejak bulan lepas dan ramai yang menyalahkan peningkatan drastik itu akibat daripada pilihan raya Sabah. – 1 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen