PEMIMPIN parti kerajaan bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur hari ini untuk bermesyuarat sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.
Ia dihadiri para presiden dan pemimpin utama PAS, Bersatu, BN dan PBS dalam acara di Hotel Hilton di Kuala Lumpur.
Muhyiddin yang tiba kemudian pada kira-kira jam 12.30 tengah hari difahamkan menyertai majlis makan tengah hari sebelum mesyuarat bersama ketua whip parti kerajaan terbabit.
Selain Muhyiddin, kesemua presiden parti terbabit hadi – Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Abdul Hadi Awang (PAS), Maximus Ongkili (PBS), Wee Ka Siong (MCA) dan S Vigneswaran (MIC).
Tumpuan utama adalah pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat yang akan menyediakan peruntukan bagi menangi Covid-19 dan kesan ekonomi dari penularan pandemik itu.
Sidang yang bermula esok juga menjadi perhatian ekoran kedudukan kritikal Muhyiddin yang berdepan sekurang-kurangnya 25 usul undi tidak percaya di Parlimen.
Namun satu pun dijangka tidak akan dimajukan kerana Dewan Rakyat akan mengikut kelaziman mengutamakan urusan kerajaan.
Usul tidak percaya yang pertama daripada 25 usul tersebut berada di susunan ke-19 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul.
Ia hanya akan dapat dibahas selepas 18 usul lain didengar melibatkan empat usul kerajaan, 11 daripada wakil rakyat kerajaan dan tiga dari pembangkang.
Permohonan kerajaan pimpinannya untuk mengisytihar darurat ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong pada minggu lalu yang menyebabkan Muhyiddin terpaksa berdepan tentangan di Parlimen.
Baginda juga menitahkan agar semua ahli Parlimen menyokong belanjawan berkenaan untuk memastikan keperluan menangani pandemik dan juga kesejahteraan rakyat terjamin.
Bagaimanapun sentimen untuk menolak belanjawan tersebut masih wujud di kalangan ahli Parlimen, yang berisiko menumbangkan kerajaan Muhyiddin.
Pada waktu ini terdapat 113 orang ahli Parlimen dalam blok PN, dengan sumbangan terbesar dari blok BN yang terdiri dari Umno, MCA, MIC dan PBS.
Ketegangan di antara Umno dan parti Bersatu pimpinan Muhyiddin juga dikaitkan dengan krisis waktu ini.
Bagaimanapun, majlis tertinggi tersebut pada Khamis lalu memutuskan parti itu akan kekal bersama PN untuk penggal ini dan menggesa pilihan raya diadakan apabila Covid-19 reda.
Muhyiddin dalam satu lagi perutusan semalam terus mempertahankan keperluan undang-undang darurat, yang didakwanya dapat mengelakkan pilihan raya diadakan sewaktu pandemik. – 1 November, 2020.
Komen