Sudah-sudahlah isu darurat, fokus pada rakyat pula, kata Guan Eng kepada PM


Kerajaan Muhyiddin perlu mula bertanggungjawab dengan situasi dihadapi negara, kata Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2020.

LIM Guan Eng mengecam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana berterusan mewajarkan keperluan pengisytiharan darurat dalam negara walaupun titah diraja sudah menolaknya.

Setiausaha agung DAP itu berkata Muhyiddin nampaknya masih belum berputus asa untuk mendapatkan perkenaan Yang di-Pertuan Agong bagi pengisytiharan darurat.

“Muhyiddin harus berhenti mengutamakan kepentingan survival politiknya sendiri tetapi sepatutnya fokus menyatukan rakyat untuk bersama-sama memerangi gelombang ketiga jangkitan Covid-19,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Muhyiddin semalam yang Pilihan Raya Kecil Batu Sapi di Sabah pada 5 Disember dan Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang boleh ditangguhkan sekiranya darurat diisytiharkan.

“Ini perkara serius. Kerana itu, kalau saudara dan saudari tanya saya, pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung pada masa ini.

“Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya. 

“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, boleh lah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga Covid-19 berakhir,” katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, semalam.

Tambah Lim, jika benar Muhyiddin bimbangkan jangkitan Covid-19 melonjak di Batu Sapi dan Sarawak disebabkan pilihan raya, beliau boleh meminta darurat setempat dibuat dan bukannya darurat seluruh negara.

Katanya lagi, ramai pakar perundangan sudah menolak pandangan hanya darurat boleh menghalang pilihan raya daripada diadakan.

Banyak pihak melihat permohonan pengisytiharan darurat sebenarnya cubaan Muhyiddin untuk terus berpegang kepada kuasa, kata Lim lagi.

“Jelas bahawa Muhyiddin telah hilang majoritinya dalam kerajaan dengan ugutan setiap hari daripada Umno untuk menarik balik sokongan daripada kerajaan PN.

“Disebabkan ini, dia tidak mahu Parlimen bersidang, takut usul tidak percaya dan Belanjawan 2021 mungkin tidak diluluskan.

“Darurat adalah kaedah paling mudah dan senang untuk mengatasi masalah dan kelemahan politiknya.”

Bagaimanapun, tambah Lim, darurat memberi kesan besar dan buruk kepada ekonomi, keyakinan pelabur, amalan demokratik dan perpaduan nasional Malaysia.

Lim mencadangkan kerajaan Muhyiddin mula bertanggungjawab dengan situasi mencabar dihadapi negara dengan membentangkan belanjawan perpaduan yang mengambil kira semua pandangan dan cadangan dasar pihak bukan kerajaan.

Belanjawan 2021 dijadual akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat depan. – 1 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen