PENGUNDIAN Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat tidak akan terjejas, kata ahli Parlimen Sabah yang menjelaskan mereka tiba lebih awal untuk dikuarantin sebelum sidang bermula.
Namun mereka kini tidak dapat berkhidmat di kawasan masing-masing di Sabah kerana terpaksa menjalani kuarantin untuk tempoh 14 hari, kata wakil rakyat ini kepada The Malaysian Insight.
Antaranya Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin yang berkata beliau juga terpaksa mengehadkan waktu di Parlimen kerana tuntutan tugas baharu sebagai timbalan ketua menteri Sabah.
“Saya akan cuba selaraskan waktu saya maksudnya kalau dulu boleh setiap hari di Parlimen sampai habis sesi sekarang ini tidak bolehlah.
“(Tanggungjawab) saya sekarang bertambah dan kalau Covid-19 masih berterusan mungkin ada masalah sikit sebab kita ada kuarantin 14 hari.
“Kalau tidak ada kuarantin tidak ada masalah sangat, dan PKPB pun akan jadi halangan juga sebab tidak boleh berulang alik macam dulu, kalau berterusan memang ada masalah sikitlah buat saya.”
Beliau bagaimanapun memberi jaminan keadaan itu tidak akan menjejaskan pengundian penting di Dewan Rakyat seperti pembentangan Bajet 2021.
“Pengundian yang sangat penting di Parlimen macam bajet saya wajib akan datang, cuma saya akan bahagilah masa.
“Minggu pertama ini sangat pentingkan jadi saya akan ada di Parlimen dan minggu depan saya perlu balik di Sabah kerana perlu bersedia untuk persidangan negeri pula,” katanya.
Ahli Parlimen Sabah kini diwajibkan menjalani kuarantin memandangkan kadar jangkitan tinggi di negeri itu yang menjadi penyumbang terbesar kes positf Covid-19 dalam negara.
Sehingga semalam, sebanyak 8,311 kes aktif dikesan di negeri itu daripada keseluruhan 11,629 kes seluruh negara yang sedang dirawat pada masa ini.
Kenaikan mendadak kes positif Coviid-19 di negeri itu berlaku selepas berakhirnya pilihan raya negeri pada 26 September.
Seramai 24 ahli Parlimen dari Sabah akan menjadi antara penentu bagi undian penting dalam sidang kali ini, terutama pembentangan bajet pada Jumaat.

Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari pula berkata peraturan ini mencabar kerana mengehadkan tugas wakil rakyat di kawasan kerana terpaksa berada lama di Kuala Lumpur.
Beliau juga berpendapat kuarantin 14 hari itu tidak perlu kerana ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) untuk mengesan Covid-19 terbukti berkesan.
Katanya ujian tersebut sudah dijalankan dan didapati berkesan semasa persidangan Dewan Rakyat terdahulu.
“Masa itu kita tak perlu kuarantin asalkan memenuhi tempoh ditetapkan, sebab ujian (RT-PCR) ini sangat tepat dan tak perlu nak kuarantin lama. Yang penting bila hari disahkan negatif kita bebaslah.
“Apa pun kita sebagai ahli Parlimen ikut juga peraturan cuma kalau bagi saya tidak ada keperluan sangat,” katanya.
Seorang lagi ahli Parlimen, Vivian Wong yang mewakili Sandakan juga berkata tiada masalah untuk menghadiri sidang Parlimen asalkan peraturan kuarantin itu dipenuhi.
Ujarnya biarpun sedikit terkejut pada mulanya kerana diarahkan untuk datang ke Kuala Lumpur dua minggu sebelum Parlimen dan dikuarantin terlebih dahulu namun akur dengan peraturan itu.
“Bagi saya dalam tempoh kuarantin ini beri lebih masa untuk buat persedian bagi sidang Parlimen.
“Tapi peraturan itu memang tidak menyenangkan kita tapi macam mana pun kita kena ikut jug sebab kita ahli Parlimen kena jadi contoh kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, Wong berkata dengan situasi seperti ini agak mustahil baginya pulang ke kawasannya pada hujung minggu mengambil kira tempoh kuarantin yang agak lama.
“Memang saya ada dekat sini sampai habis sidang, kalau nak balik bolehlah jika libatkan hal kecemasanan, tapi itulah kalau balik pun kena kuarantin 14 hari agak lama.
“Sekarang ini kalau apa-apa berhubung dengan kawasan melalui media sosial sajalah,” katanya.
Ditanya adakah perlu mengubah sidang Parlimen secara maya mengambil kira keadaan ketika ini, jawabnya ia boleh dilakukan jika mempunyai sistem yang lengkap.
“Cuma saya setuju ia perlu difikirkan sebagai alternatif kalau keadaan pandemik berterusan,” katanya. – 1 November, 2020.
Komen