KERAJAAN Austria semalam mengumumkan semula perintah pengurungan mulai minggu hadapan sehingga akhir November dalam usaha mengekang kenaikan mendadak jangkitan koronavirus.
“Perintah pengurungan kedua akan dikuatkuasakan dari tengah malam Selasa sehingga akhir November,” kata Canselor Sebastian Kurz pada sidang media.
Perintah pengurungan akan dikuatkuasakan antara jam 8 malam sehingga 6 pagi dan sebarang perjumpaan lebih dari dua isi rumah juga tidak akan dibenarkan.
Namun beberapa alasan seperti tanggungjawab penjagaan atau perjalanan kerja yang penting dibenarkan sepanjang tempoh perintah pengurungan.
“Semua acara tidak akan dapat dilakukan. Ini akan mempengaruhi sektor sukan, budaya dan rekreasi. Hotel perlu ditutup kecuali perjalanan kerja dan kita juga mesti menutup restoran serta kafe kecuali perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang,” kata Kurz.
Tidak seperti perintah pengurungan pertama pada musim bunga, kedai akan tetap dibuka tetapi pasar Krismas yang terkenal di negara ini tergolong dalam kategori acara dan akan kekal ditutup.
Universiti dan sekolah menengah akan dijalankan menerusi pembelajaran jarak jauh tetapi tadika dan sekolah lain akan tetap dibuka.
Semua pekerja yang boleh bekerja dari rumah diminta untuk melakukannya.
Pada Jumaat Austria mencatatkan satu lagi rekod baharu dengan 5,627 jangkitan dalam tempoh 24 jam sementara pada Sabtu mencatat 5,439.
Pada awal Oktober kadar jangkitan baharu setiap hari adalah lebih daripada 1,000 kes.
Jumlah mereka yang dimasukkan ke hospital juga meningkat dengan 64 orang dimasukkan menjadikan jumlah yang menerima rawatan seramai 1,867 orang.
Kurz sebelumnya berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk mengelak perintah pengurungan kedua tetapi telah dipaksa untuk bertindak susulan peningkatan jumlah kes.
Walaupun Australia mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan terbaik di dunia, “jika kita tidak bertindak sekarang, kemampuan rawatan intensif kita akan terbeban,” katanya.
Beliau berharap negara dapat melonggarkan perintah pengurungan pada Disember jika berjaya menurunkan jumlah jangkitan. – AFP, 1 November, 2020.
Komen