PENYAKIT buah pinggang menyebabkan Putrajaya menanggung kos sehingga RM1.6 bilion setahun, ini termasuk kos RM40,000 setahun bagi setiap pesakit yang menjalani rawatan kegagalan fungsi buah pinggang.
Dengan kira-kira 40,000 pesakit menerima rawatan bagi tahun ini sahaja, kerajaan menganggapnya sebagai bebanan besar bagi penyakit yang dikatakan oleh doktor dapat diatasi sekiranya mereka mendapatkan rawatan tekanan darah tinggi dan kencing manis pada peringkat awal.
Pesakit juga menyedari perkara ini dengan penuh kekesalan dan kini terpaksa bergelut untuk menjalani semula kehidupan normal tanpa kerja di samping belajar menyesuaikan diri dengan gaya hidup baru.
Pesakit buah pinggang kronik yang terpaksa menjalani dialisis sekurang-kurangnya tiga kali seminggu adalah yang paling terkesan, kerana hospital atau pusat dialisis menjadi rumah kedua mereka apabila terpaksa menghabiskan masa sehingga empat jam bagi setiap rawatan.

Mohamad Kamarulzaman Akasha, 40, didiagnosis dengan penyakit buah pinggang dua bulan lalu, dan mendapati sukar untuk menyesuaikan diri, bukan sahaja dengan penyakitnya, tetapi tekanan yang turut dirasai keluarga.
Walaupun mempunyai setahun lagi kontrak sebagai pereka paip pelantar minyak, pihak pengurusan syarikat sering bertanya bila dia akan berhenti.
Bapa kepada tujuh anak itu sudah memutuskan untuk menjual rumahnya bagi menampung perbelanjaan keluarga serta rawatan dialisisnya.
“Saya dalam proses menjual rumah dan akan berhijrah ke Sepang. Saya ada tanah di sana. Jadi, duit hasil jualan rumah akan gunakan untuk menyara anak sementara.
“Saya juga terfikir untuk mengeluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) saya. Kalau sudah sakit, kita pun faham-faham sendiri,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Komitmen bulanannya melebihi RM7,000, memandangkan dua anaknya kini berada di sekolah berasrama sementara isterinya suri rumah sepenuh masa.
Kamarulzaman mengakui punca utama penyakit buah pinggangnya disebabkan tabiat pemakanan yang tidak sihat kerana tekanan kerja, yang juga menyebabkan hipertensi.
Dia mengakui menyesal mengambil mudah arahan doktor dan tidak konsisten dengan pengambilan ubat yang disarankan.
“Kerja kami sangat sibuk. Tidak kisah hal makan. Selalu makan di luar. Jadi makan benda yang berkolestrol dan masin. Makan ubat tidak ikut masa, mengakibatkan darah tinggi saya naik.
“Stres juga menjadi punca. Bila kita kerja kontrak, kita juga selalu tertekan kerana takut tiada kerja. Jadi apabila semuanya berlaku, doktor kata disebabkan darah tinggi, dua buah pinggang saya rosak dan gagal berfungsi,” katanya.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahaya pada Oktober dilaporkan berkata kira-kira 40,000 orang tahun ini dirawat kerana kegagalan fungsi buah pinggang, manakala di seluruh negara, terdapat 3.5 juta orang yang didiagnosis dengan diabetes atau kencing manis.
Beliau berkata RM1.6 bilion yang dibelanjakan terhadap rawatan ini merupakan “beban besar” bagi “penyakit yang boleh dikawal pada peringkat awal”.
Muhammad Nohi Omar, 45, yang menderita penyakit kencing manis selama hampir sedekad, mengakui dia tidak mengendahkan nasihat doktor untuk mengawal pengambilan gula hariannya.
“Saya suka makan makanan manis. Kita belum kena sakit tetapi apabila sakit, sudah tiada gunanya. Sekarang ini saya kuatkan diri untuk dialisis bagi meneruskan hidup,” kata bapa anak dua yang tinggal di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.
Seperti Kamarulzaman, Nohi juga mengambil keputusan berhenti kerja.
“Ada kesan-kesan sampingan selepas menjalani rawatan. Kita pun selalu sakit sendi. Tidak larat. Jadi beberapa tahun selepas dialisis, saya mohon MSS dengan syarikat.”
Nohi, yang bekerja selama hampir 20 tahun di Amanah Ikhtiar Raya, berkata pencen daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), yang bersamaan dengan 65% daripada gaji terdahulu, sedikit sebanyak membantunya dalam perbelanjaan keluarga dan kos rawatannya.
Pakar Perubatan (Dalaman) Hospital Sungai Buloh, Dr Jeevita Supayah memahami kesusahan yang dialami pesakit buah pinggang kerana perubahan gaya hidup yang ketara.
Hospital akan membantu pesakit dengan mengenakan bayaran hanya RM13 bagi setiap dialisis.
“Kita tidak pernah tolak pesakit. Rawatan dialisis adalah salah satu harapan untuk mereka meneruskan hidup. Jika mereka ada pusat dialisis lain dan memerlukan laporan perubatan untuk bantuan, kita akan bantu menyediakannya,” katanya, merujuk kepada organisasi yang menjalankan pusat dialisis seperti pusat Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Perkeso dan zakat.
Pesakit juga diberi kaunseling untuk membantu menguatkan mental mereka bagi memastikan semangat tidak luntur disebabkan penyakit tersebut.
“Gaya hidup mereka berubah, jadi mereka memerlukan sokongan. Di hospital ada pakar kaunseling khas dan juga daripada kalangan pesakit. Kita juga ada pakar nutrisi untuk memberi nasihat kepada pesakit,” kata Dr Jeevita.

Seorang lagi pesakit, Siti Hazwani Ramli, 30, antara yang membuat rawatan di pusat dialisis swasta dengan bantuan Perkeso, mengakui mengalami perubahan gaya hidup mendadak.
Masih bekerja sebagai pembantu sumber manusia di syarikat swasta, Hazwani mengakui kerjanya sedikit terganggu kerana masa yang diperlukan untuk mendapatkan rawatan agak lama.
“Saya dapat bantuan Perkeso. Mujur juga syarikat saya kerja memberi sokongan moral dan kewangan. Tetapi itulah, bila kita habiskan masa berjam-jam untuk dialisis, ada kerja yang tertangguh dan lambat disiapkan.
“Tiga tahun sakit, hendak bercuti pun susah. Waktu dengan keluarga pun semakin berkurangan. Lebih menyedihkan, saya berisiko kalau mengandung,” katanya. – 1 Januari, 2018.
Komen