Belanjawan 2021 tenggelamkan usul tidak percaya PM


Chan Kok Leong

Tumpuan pada belanjawan ini juga mahu melihat sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mampu mendapatkan sokongan anggota Dewan Rakyat untuk meluluskannya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2020.

SEJUMLAH usul tidak percaya dikemukakan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang terbanyak dalam sejarah Dewan Rakyat, namun satu pun dijangka akan didengar apabila Parlimen kembali bersidang esok. Alasannya, urusan kerajaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum urusan lain.

Usul tidak percaya yang pertama, daripada keseluruhan 24 usul yang sama, diletakkan pada No 19 Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul. Kertas aturan yang menyenaraikan semua 64 usul itu dipaparkan di laman web Parlimen menjelang Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Keempat yang ditetapkan sehingga 15 Disember.

Usul tak percaya yang pertama dalam senarai dikemukakan oleh Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu-Bebas), yang hanya boleh dibahas selepas 18 usul lain didengar, iaitu empat usul kerajaan, 11 daripada wakil rakyat kerajaan, satu daripada Wilfred Tangau (Tuaran-UPKO) dan dua daripada wakil rakyat DAP Fong Kui Lun (Bukit Bintang-Pakatan Harapan).

Usul Amiruddin dan 23 yang seumpamanya tidak akan didengar walaupun sekiranya Wilfred dan Fong menarik balik usul mereka.

Lima daripada usul itu dibawa oleh lima ahli Parlimen dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), yang masih dianggap wakil rakyat bebas kerana parti mereka belum berdaftar. Bakinya dikemukakan oleh 12 wakil rakyat Pakatan Harapan dan tujuh dari Parti Warisan Sabah.

Pada masa sama, ada dua usul percaya terhadap Muhyiddin yang difailkan oleh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Putih-PAS) dan Shahidan Kassim (BN-Arau).

Usul Zawawi di No 20, selepas usul tidak percaya Amiruddin, manakala Shahidan diletakkan di No 46.

Walaupun terdapat 24 usul tidak percaya terhadap perdana menteri, namun satu pun dijangka tidak akan didengar di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2020.

Muhyiddin terkepung

Dengan usul tidak percaya tenggelam, sidang Dewan Rakyat akan bertumpu pada pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2021.

Ia jadi perhatian kerana inilah belanjawan pertama Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional sejak mengambil alih Putrajaya pada Mac. Selebihnya, ia diberi perhatian untuk melihat langkah kerajaan bagi menangani ekonomi susulan kesan pandemik Covid-19.

Pada Ogos, Bank Negara Malaysia melaporkan ekonomi negara menguncup 17.1% pada suku kedua selepas sekatan pergerakan yang dikenakan sejak Mac.

Selain insiatif yang akan diperkenalkan, perhatian pada belanjawan ini juga mahu melihat bolehkah Muhyiddin mendapatkan sokongan anggota Dewan Rakyat untuk meluluskannya.

Di atas kertas, Muhyiddin mempunyai sokongan yang tipis iaitu 113 daripada 22 kerusi ketika popularitinya dalam kalangan ahli Parlimen dan masyarakat umum mula diragui.

Apatah lagi Muhyiddin minggu lalu cuba menghentikan semua proses ini dengan memohon pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong.

Permohonan Jemaah Menterinya ditolak pada Ahad lalu, menyebabkan beliau kini terpaksa berurusan dengan Umno yang tidak berpuas hati dengan Bersatu pimpinannya, dan dengan pembangkang.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dijadual bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pada petang ini untuk merundingkan cadangan belanjawan.

Pakatan Harapan sementara itu sedia memberikan sokongan melalui perjanjian keyakinan dan pembekalan sekiranya kerajaan mahu memenuhi beberapa tuntutan mereka.

Umno pada pertengahan Oktober mengancam menarik balik sokongan daripada Perikatan sekiranya kerjasama politik mereka tidak diperbaharui dengan beberapa syarat. Media melaporkan antara syarat itu termasuk melantik pemimpin kanan Umno sebagai timbalan perdana menteri.

Umno minggu lalu mengumumkan gencatan politik tetapi mengulangi desakan mahu pilihan raya segera selepas pandemik Covid-19 reda.

Pada masa ini tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan perdana menteri letak jawatan sekiranya belanjawan ditolak. – 1 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen