PILIHAN Raya Kecil Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak dapat dielakkan melainkan darurat diisytiharkan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas wujud kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen.
Begitu Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan pilihan raya negeri mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.
“Ini perkara serius. Kerana itu, kalau saudara dan saudari tanya saya, pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung pada masa ini.
“Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya.
“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, boleh lah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga Covid-19 berakhir,” kata perdana menteri semasa menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen hari ini.
PRK Batu Sapi akan diadakan pada 5 Disember, manakala belum ada ketetapan tarikh PRN Sarawak. Pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tempoh DUn Sarawak berakhir Jun depan.
Muhyiddin pada 23 Oktober menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan pengisytiharan darurat bagi memerangi ancaman Covid-19.
Dua hari kemudian, selepas rundingan bersama Raja-Raja Melayu, Yang-di-Pertuan Agong menolak cadangan kerajaan, dan bertitah kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga bertitah meminta semua pihak kurang berpolitik, sebaliknya bersama-mana fokus menangani penularan Covid-19 dan kesannya.
Baginda juga berharap Dewan Rakyat memberi sokongan padu untuk meluluskan Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan oleh kerajaan Muhyiddin pada Jumaat 6 November. – 31 Oktober, 2020.
Komen