BEKAS menteri kewangan Lim Guan Eng hari mencadangkan “belanjawan perpaduan” dengan perlindungan ekonomi RM31.4 bilion untuk menyelamatkan pekerjaan dan punca pendapatan ketika industri dan perdagangan diancam pandemik Covid-19.
Setiausaha agung DAP itu berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu memulakan proses perundingan dengan parti pembangkang untuk mewujudkan belanjawan perpaduan menjelang Belanjawan 2021, di mana pelan perbelanjaan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan dibentangkan pada 6 November.
Lim berkata ia bagi memastikan dasar kewangan digabungkan dan aspirasi Yang di-Pertuan Agong untuk membantu rakyat Malaysia secara ekonomi dan bagi membendung penularan Covid-19 dapat dipenuhi.
Lim berkata walaupun tiada bantahan tentang keperluan lebih banyak dana diperuntukkan kepada petugas barisan hadapan yang berperang dengan Covid-19, bantuan kewangan untuk sektor ekonomi juga akan membantu dalam merangka belanjawan perpaduan yang akan menyatupadukan rakyat Malaysia.
Penguncupan 17.1% keluaran dalam negeri kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun ini dan jangkaan Menteri Sumber Manusia M Saravanan bahawa kadar pengangguran akan mencecah sejuta pada hujung September, menunjukkan krisis ekonomi dihadapi rakyat biasa, kata Lim dalam satu kenyataan.
“Perlindungan ekonomi belanjawan perpaduan 2021 akan menelan belanja RM31.4 bilion meliputi bantuan kewangan bulanan RM1,000, lanjutan moratorium pinjaman bank enam bulan lagi serta insentif penggajian untuk majikan dan pekerja,” katanya.
Lim berkata RM31.4 bilion bukan jumlah besar jika dibandingkan peruntukan RM305 bilion menerusi pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang tidak berkesan dalam memacu kesan diinginkan bagi melonjakkan semula ekonomi.
“Pertama sekali di bawah perlindungan ekonomi belanjawan perpaduan, perlu ada pelaksanaan serta merta tambahan bantuan kebajian bulanan dari RM200-RM300 kepada RM1,000 seperti dijanjikan perdana menteri pada 30 Ogos di Sandakan, yang akan menelan kos RM12 bilion.
“Ini akan memberikan jaringan keselamatan serta merta kepada mereka yang hilang pekerjaan,” katanya.
Lim juga menggesa moratorium bayaran balik pinjaman bank dilanjutkan enam bulan lagi.
Beliau berkata moratorium yang akan menelan belanja RM6.4 bilion bakal menyelamatkan lapan bilion orang berbanding bantuan sasaran yang hanya memberi manfaat kepada 1.4 juta peminjam. – 31 Oktober, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen