Shabery Cheek pula tegur Rais Yatim persoal titah Agong tolak darurat


Tindakan Speaker Dewan Negara Rais Yatim pertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan PN untuk isytihar darurat di media sosial dikecam dan dianggap kurang beradab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2020.

SEORANG lagi pemimpin kanan Umno menegur tindakan Speaker Dewan Negara Rais Yatim mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan permohonan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk perintah darurat yang dikatakan untuk mengawal penularan Covid-19.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Shabery Cheek menyifatkan cara Rais, yang membangkitkan perkara itu melalui media sosial, sebagai kurang beradab kerana ia melibatkan Raja Melayu.

“Dalam masyarakat Melayu, Rajanya seperti bapanya. Perintah dan larangannya tak boleh dilihat dari perspektif undang-undang semata-mata.

“Kalau nak berhujah siapa betul dan siapa yang salah, biasanya ada adab tertentu. Tak perlu melaungnya untuk didengar semua.

“Lebih-lebih lagi dalam struktur Parlimen kita,  jarak Dewan Negara dan Yang di-Pertuan Agong sangatlah dekat,” katanya di Facebook.

Selepas terpilih speaker Dewan Negara pada awal September lalu, Rais meletak jawatan pengerusi Bersatu Negeri Sembilan.

Sehari selepas titah Yang di-Pertuang Agong menolak permohonan Jemaah Menteri, Rais menulis di Twitter berpandangan keputusan itu salah di sisi undang-undang.

Beliau membangkitkan Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong tiada pilihan selain perlu menerima nasihat daripada Jemaah Menteri apabila “dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat”.

“Kenapa peguam negara tidak menimbulkan (isu) bahawa peruntukan mandatori Perkara 40 diketepikan?

“Inikan tonggak Raja Berperlembagaan?” tulis Rais.

Rais juga mencadangkan agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membangkitkan semula isu pengisytiharan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pandangan Rais itu turut dipersoalkan oleh seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Azalina Othman Said, yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat, yang mengajak Rais “minum kopi dan berbincang” mengenainya.

 

Yang di-Pertuan Agong pada Ahad lalu, selepas berunding dengan Raja-Raja Melayu, menggunakan budi bicara tidak memperkenankan permohonan kerajaan Muhyiddin untuk pengisytiharan darurat bagi menangani Covid-19.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga bertitah meminta semua pihak kurang berpolitik sebaliknya bersama-mana fokus menangani penularan Covid-19 dan kesannya.

Baginda juga berharap Dewan Rakyat memberi sokongan padu untuk meluluskan Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan oleh kerajaan Muhyiddin pada Jumaat 6 November.

Semalam, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar memfailkan saman pemula meminta mahkamah memutuskan kedudukan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Peguam itu berhujah Yang di-Pertuan Agong tidak boleh untuk tidak memperkenankan nasihat Jemaah Menteri minggu lalu bagi suatu pengisytiharan darurat. – 31 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen