Tabika Perpaduan di Johor Bahru, Kulai tutup mulai esok


Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di Johor Bahru dan Kulai ditutup bermula esok hingga 14 November ini susulan Johor Bahru kini zon merah pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2020.

SEMUA Tabika Perpaduan (TP) dan Taska Genius Perpaduan (TGP) di Johor Bahru dan Kulai ditutup bermula esok hingga 14 November ini, susulan pengisytiharan Johor Bahru sebagai zon merah pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara hari ini,  penutupan itu melibatkan 60 TP dan satu TGP dengan 1,507 kanak-kanak dan 124 tenaga pengajar.

Senarai kesemua tabika dan taska terlibat boleh didapati menerusi laman Facebook rasmi kementerian, demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Halimah Mohamed Sadique mengingatkan semua agensi di bawah kementeriannya yang berada di zon merah supaya mematuhi protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara serta arahan kerajaan negeri.

“Kementerian Perpaduan Negara  menasihati semua kakitangan, jentera perpaduan dan orang ramai supaya sentiasa patuh kepada SOP dan mengamalkan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal dan sentiasa membersihkan tangan terutamanya ketika berada di tempat awam,” katanya dipetik oleh kenyataan itu. – Bernama, 31 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen