KANADA pada Jumaat melanjutkan sekatan kemasukan antarabangsa yang tidak penting sehingga akhir November ketika kes Covid-19 meningkat, sambil melonggarkan peraturan kuarantin kepada beberapa komuniti sempadan Kanada-Amerika Syarikat (AS).
Larangan perjalanan itu dilaksana sejak pertengahan Mac, sementara Ottawa dan Washington mempunyai perjanjian berasingan yang melarang perjalanan tidak penting antara kedua-dua negara akan berakhir seminggu lebih awal.
Pelancong dibenarkan masuk ke Kanada walaupun terdapat larangan - termasuk pekerja penting, pelajar, dan pasangan, kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga warga Kanada - masih perlu menjalani kuarantin selama 14 hari semasa ketibaan.
Bagaimanapun, Menteri Keselamatan Awam, Bill Blair berkata “beberapa penyesuaian praktikal” terhadap peraturan tersebut akan dibuat untuk membolehkan penduduk dari beberapa komuniti luar menyeberang sempadan bagi mengakses keperluan seperti makanan dan rawatan perubatan tanpa perlu menjalankan pengasingan diri setiap kali melakukan perjalanan.
Beliau menamakan Pulau Campobello di New Brunswick; Stewart, British Columbia; Northwest Angle, Minnesota; dan Hyder, Alaska - semuanya terputus hubungan dari negara masing-masing kerana sempadan tidak selari.
Kerajaan juga akan membenarkan pengecualian kepada projek perintis dengan wilayah Alberta sebagai alternatif kepada kuarantin.
Peserta diuji untuk jangkitan Covid-19 di sempadan atau selepas mendarat di lapangan terbang Calgary, dan jika keputusan negatif, mereka boleh menamatkan kuarantin lebih awal selagi komited menjalani ujian kedua kira-kira seminggu kemudian di farmasi tempatan.
Mereka juga mesti mengawasi gejala, mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka di khalayak ramai dan mengelak daripada mengunjungi kumpulan berisiko tinggi.
Kira-kira 400,000 orang membuat perjalanan melintasi sempadan antara Kanada dan AS setiap hari, tetapi jumlah menurun sejak sekatan pandemi dilaksanakan.
Kanada minggu ini mencatat lebih 10,000 kematian akibat Covid-19 sementara AS semakin menghampiri 230,000. – AFP, 31 Oktober, 2020.
Komen