KES jangkitan Covid-19 kini mula menurun di kawasan pantai timur Sabah, tetapi meningkat di pantai barat negeri itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Cabaran kita sekarang bukan di pantai timur, tetapi di pantai barat di Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang.
“Kes meningkat di situ, iaitu fasa peningkatan. Kita harap kita dapat kawal dalam tempoh 2 minggu lagi,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh tersebut KKM mensasarkan untuk menurunkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) daripada 2.2 kepada 1.0.
Pada masa sama beliau sekali lagi berkata pilihan raya tidak sesuai diadakan ketika negara sedang bergelut menangani penularan Covid-19.
Pilihan raya kecil Batu Sapi di Sabah dijadual pada 5 Disember susulan kematian penyandangnya Liew Vui Keong.
Dr Noor Hisham berkata beberapa langkah perlu diambil sekiranya pilihan raya perlu diadakan iaitu tidak dibenarkan rentas sempadan negeri atau daerah, tiada perhimpunan kempen dan lawatan rumah ke rumah.
“Kalau kita tidak ada punca kuasa untuk membatalkan pilihan raya, jadi kita kena laksanakan. Kalau kita laksanakan boleh tak kita patuh kepada tiga prinsip yang telah saya katakan tadi.
“Kita masih berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Kalau ada pun SOP disediakan untuk pilihan raya, cabaran kita adalah kepatuhan kepada SOP,” katanya. – 30 Oktober, 2020.
Komen