Selangor tambah peruntukan sektor kesihatan RM56.5 juta, kata MB


Diyana Ibrahim

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata peningkatan sebanyak 23% berbanding RM43 juta tahun lalu itu untuk menangani cabaran kesihatan seperti pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

SELANGOR menambah peruntukan dalam sektor kesihatannya sebanyak RM56.5 juta, peningkatan sebanyak 23% berbanding RM43 juta tahun lalu, untuk menangani cabaran kesihatan seperti pandemik Covid-19, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Amiruddin semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2021 hari ini berkata langkah itu merupakan manifestasi komitmen kerajaan negeri untuk menambah baik sektor kesihatan negeri.

“Dalam mendepani cabaran kesihatan global dan domestik yang berterusan, aspek kesihatan akan terus diutamakan oleh kerajaan negeri bagi melahirkan individu, keluarga dan masyarakat yang progresif. 

“Bagi tahun 2021 kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM56.5 juta untuk kesihatan secara keseluruhan,” katanya  pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin turut mengumumkan kerajaan negeri berjaya melaksanakan 40 daripada 43 inisiatif bawah Pakej Selangor Prihatin fasa pertama dan kedua bagi menangani kesan wabak Covid-19 dengan nilai keseluruhan peruntukan lebih RM400 juta.

Jelasnya daripada 43 inisiatif yang diumumkan di bawah fasa pertama dan fasa kedua ini, sebanyak 40 inisiatif telah selesai dilaksanakan sepenuhnya, yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM264.4 juta atau 64%.

Beliau berkata manfaat Pakej Selangor Prihatin fasa pertama dan kedua ini telah dapat dinikmati oleh lebih 3 juta penerima. 

Selain itu, Selangor juga menumpukan beberapa program menangani kesan Covid-19, antaranya program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) untuk ibu tunggal dengan peruntukan RM62 juta bagi tahun 2021.

Bantuan sebanyak RM200 sebulan itu akan diperluaskan kepada 5,000 lagi penerima, tambah Amirudin.

“Kajian yang telah dijalankan oleh Institut Wanita Berdaya Selangor (IWB) menunjukkan bahawa golongan ibu tunggal sangat terkesan akibat Covid-19 ini memandangkan mereka adalah satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga mereka. 

“Hasil kajian menunjukkan bahawa 42% daripada ibu tunggal ini telah kehilangan (sebahagian) pendapatan isi rumah mereka akibat kontraknya ditamatkan, terpaksa menutup perniagaan atau mendapat cuti tanpa gaji,” katanya.

Beliau berkata pandemik Covid 19 memberi kesan kepada rakyat terutama dari segi ekonomi apabila ia menyaksikan ramai kehilangan kerja.

Kerajaan negeri berjaya melaksanakan 40 daripada 43 inisiatif bawah Pakej Selangor Prihatin fasa pertama dan kedua bagi menangani kesan wabak Covid-19 dengan nilai keseluruhan peruntukan lebih RM400 juta. Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

Menurutnya, kajian oleh Institut Darul Ehsan (IDE) ke atas 1,100 penduduk Selangor mendapati 36% daripada mereka terjejas pendapatan bulanan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebanyak 22% peniaga di Selangor terjejas selepas PKP. Sebanyak 8% terpaksa berhenti berniaga, 14% lagi terpaksa memikirkan kaedah lain dalam berniaga,” kata Amirudin.

Beliau berkata 72% penduduk Selangor yang terjejas pendapatan kebanyakannya tinggal di kawasan perumahan pangsapuri dan teres setingkat, serta berumur antara 20 hingga 34 tahun.

Kajian IDE turut mendedahkan 56% rakyat Selangor terbeban dengan pembelian pelitup muka dan pensanitasi tangan (hand sanitizer), tambahnya.

“Berdasarkan keresahan dan kesusahan rakyat, maka kerajaan negeri sedar bahawa belanjawan kali ini mestilah mampu menjadi penampan untuk menyerap kesan pandemik ke atas rakyat Selangor.”

Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2021 dengan jangkaan defisit berjumlah RM123 juta.

Amirudin berkata defisit itu mengambil kira peruntukan RM2.323 bilion dalam Belanjawan 2021 melebihi hasil negeri sebanyak RM2.2 bilion.

Bagaimanapun defisit itu lebih rendah berbanding unjuran defisit 2020 iaitu RM133 juta, tambahnya.

“Dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri yang berjumlah RM2.2 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.323 bilion, maka Belanjawan 2021 akan mengalami defisit berjumlah RM123,000,000 berpunca daripada peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan. 

“Kerajaan negeri juga sentiasa berjaya mengurangkan defisit sejak tiga belanjawan lalu kepada satu jumlah yang munasabah menerusi usaha-usaha perbelanjaan berhemah, budaya kerja cekap dan berintegriti,” katanya. – 30 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen