Agensi Bantuan Malaysia sasar kumpul RM300,000 bantu Covid-19 di Sabah


Keadaan Covid-19 yang meningkat di Sabah telah merekodkan jumlah pesakit Covid-19 tertinggi di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020. 

AGENSI Bantuan Malaysia (MRA) melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan 2.0 Covid-19 bagi membantu mereka yang terkesan akibat wabak di Sabah.

MRA berkata setakat ini mereka berjaya mengumpulkan RM100,000 hasil sumbangan orang ramai dan berhasrat mengumpulkan sebanyak RM300,000 menjelang November.

Presidennya Dr Mohd Daud Sulaiman berkata mereka memerlukan alat perlindungan diri (PPE), pek tenaga untuk petugas barisan hadapan dan bantuan makanan.

“Keadaan Covid-19 yang meningkat di Sabah telah merekodkan jumlah pesakit Covid-19 tertinggi di Malaysia.

“Berikutan itu MRA Sabah terus memberikan sokongan kepada sukarelawan yang membantu Kementerian Kesihatan dengan mengadakan pemeriksaan di Zon Merah di pantai timur Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain dari pemeriksaan katanya, sebanyak 3,000 bungkus makanan asas diedarkan di seluruh negeri sejak bermulanya perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“MRA Sabah juga menerima sumbangan paket makanan asas daripada pihak korporat seperti PPB Group Sdn Bhd, MMC Corporation dan Celcom Axiata Berhad kepada mereka yang memerlukan.

“Sementara itu Syarikat PTTEP Sarawak Oil Berhad bersedia menyumbang RM50,000 untuk Tabung Bantuan Kecemasan 2.0 Covid-19,” katanya.

Beliau berkata untuk bantuan perubatan, setakat ini MRA Sabah mengagihkan sumbangan perubatan seperti PPE, Oxygen Concentrator dan keperluan lain berjumlah RM740,000 sehingga semalam dengan beberapa sumbangan daripada beberapa syarikat korporat besar seperti The Edge dan MR DIY.

“Terdapat bantuan logistik oleh POS Malaysia yang membawa PPE dan peralatan perubatan melalui penerbangan kargo yang digerakkan hampir setiap minggu sejak pertengahan Oktober.

“MRA juga bekerjasama dengan Yayasan Jantung Malaysia (NHAM) dengan bantuan logistik bersama POS Malaysia melalui penghantaran empat unit mesin pernafasan HFNC AIRVO2 bernilai RM90,000 ke Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau menambah setakat ini bantuan diagihkan di sekitar Sabah seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort, Sipitang, Tawau, Semporna, Sandakan dan terbaru di Labuan serta akan diperluas lagi di beberapa kawasan lain bergnatung pada dana dan sumbangan yang diterima. – 30 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen