RM200 juta tangani masalah air di Selangor, kata MB


Diyana Ibrahim

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata RM200 juta akan disalurkan untuk empat projek yang diyakini dapat mengurangkan sehingga 90% risiko gangguan air di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.  

SELANGOR menyediakan RM200 juta tahun depan untuk sebahagian daripada usaha mengatasi masalah gangguan bekalan air di negeri itu, umum Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Peruntukan itu akan disalurkan untuk empat projek yang diyakini dapat mengurangkan sehingga 90% risiko gangguan air, katanya.

“Kita yakin ini dapat mengurangkan sehingga 90% risiko henti-tugas Loji Rawatan Air SSP1, 2, 3, LRA Rantau Panjang dan LRA Semenyih 1 dan 2 yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada 1.6 juta akaun pengguna akibat pencemaran,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2021 Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Empat projek tersebut ialah rawatan air di Sungai Gong, pemantauan 24 jam di kawasan sensitif di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat, mengepam air dari kolam takungan di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih, serta meminta Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999.

Pindaan undang-undang itu akan menambah hukuman denda bagi kesalahan pencemaran sumber air.

Pentadbiran Amirudin sebelum ini dikritik hebat susulan siri gangguan bekalan air di Lembah Klang sebanyak 18 kali sejak Mac lalu.

Yang terakhir pada pertengahan bulan ini apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran di Sungai Selangor.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengumumkan tindakan penguatkuasaan lebih tegas rumah dan kilang haram di tebing sungai diroboh kerana berpotensi mencemarkan anak sungai dan sungai di Selangor.

Katanya, kerajaan negeri akan  memperkemaskan lagi pemantauan lembangan sungai melalui tindakan pengawasan termasuk dengan penggunaan dron, pengurusan data dan analisis kecerdasan buatan.

Pada masa sama Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan program Skim Air Darul Ehsan (SADE) dengan tambahan peruntukan sebanyak RM40 juta.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan program air percuma, jumlah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri adalah RM1.8 bilion sehingga 31 Disember 2019.

“Konsep perkongsian kos membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan semula peruntukan negeri bagi projek pembangunan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata sejak program itu diperkenalkan pada 2 Mac 2019 ia telah memberi manfaat sebanyak 250,000 pengguna. – 30 Oktober, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen